TINTA BUAT REMAJA- Cinta Anta -Anti

Alaf yang serba unik telah menyaksikan bagaimana para
remaja dan belia dakwah tidak dapat lari dari fenomena cinta. Menariknya,
cinta yang mereka alami ini telah di”Islamik”kan seperti mana bank-bank,
institusi-institusi kewangan lain diislamkan. Maka timbullah istilah “Cinta
ukhwah”. Ayat-ayat dan hadis-hadis sering dijadikan alat untuk
menjustifikasikan apa yang dilakukan. Menarik lagi gejala ini menular di
kalangan mereka yang berkopiah, berserban, bertudung litup, naqib-naqibah
usrah dan mereka yang menggunakan ganti nama “ana - anta dan ana - anti”.

Sms,Yahoo Messenger, email dan lain-lain kemudahan perhubungan era ICT telah
menjadi penghubung utama cinta “anta-anti” ini. Ia lebih selamat, kerana
tidak perlu berdating seperti pasangan yang tidak Islamik. Tidak perlu
membazir tambang teksi, tambang bas dan juga membazir membeli kertas kajang
berbau wangi dan dakwat yang berwarna-warni seperti mana halnya anak-anak
muda lain yang jauh dari arus kebangkitan Islam. Bermula dengan kata-kata
tazkirah, berakhir dengan ikon senyuman, teddy bear dan kadang-kadang gambar
wanita bertudung.

Malah ada yang menjadikan kehadiran di seminar-seminar, kursus-kursus dan
juga wacana-wacana ilmiah sebagai peluang untuk berjumpa. Bagi yang aktif
berpersatuan pula, mesyuarat-mesyuarat dan aktiviti-aktiviti persatuan
sering menjadi medan pelepas rindu. Alahai…kreatif betul anak-anak muda
dakwah alaf baru ini.

Fenomena yang berlaku ini dimeriahkan dan dikosmetikkan lagi oleh
nasyid-nasyid Melayu yang berpaksikan cinta muda-mudi. Klip-klip video
nasyid pun, tajuk-tajuk yang bombastik berbau cinta asmara. Hakikatnya,
fenomena cinta “anta-anti” ini semakin ketara dan semakin rancak. Ada yang
berakhir dengan perkahwinan, dan ada juga yang kecewa di pertengahan jalan,
dan tidak kurang juga yang telah menjerumuskan kedua-dua pasangan ke lembah
maksiat. wal’iyadhubillah…



Salah Faham ukhwah fillah


Teringat juga penulis kepada satu fenomena apabila seorang siswi datang
mengadu dia diusik oleh Pak Lebai. Bukan sekadar sms, kad ucapan hari lahir,
kad hari raya, malah sejambak bunga ros di hari lahir juga telah dikirimkan
oleh Pak Lebai tersebut.Tidak tahulah penulis apakah tanggapan masyarakat
terhadap fenomena seumpama ini. Yang pasti di setiap kad, sms dan di
jambangan bunga tersebut terukir kata-kata “ukhwah fillah kekal
abadi..”.sekali lagi makna ukhwah disalah gunakan.

Satu kes yang lain pula, seorang siswa meluahkan kekecewaannya apabila
dihampakan oleh seorang siswi yang satu “jemaah” dengannya. Beliau tidak
sangka setelah berpuluh-puluh minggu mereka bertukar-tukar sms dan tazkirah
melalui email, akhirnya siswi tersebut bertunang dengan orang lain yang juga
satu “jemaah” dengan mereka.Aduh..lagi hebat daripada filem “Love Story”
yang pernah popular di tahun-tahun 70′an dahulu. Yang pasti, sekali lagi
tema “ukhwah fillah” menjadi “camouflagde” ke atas perhubungan antara dua
jantina yang ada kesedaran Islam ini.

Dalam satu insiden yang lain pula, seorang siswi pernah meminta pendapat
penulis. Seorang seniornya yang sedang menuntut di dalam IPT yang sama
dengan beliau telah bersungguh-sungguh melamarnya. Walaupun telah ditolak
lebih 20 kali, namun si teruna terus melamarnya juga.Sekali lagi slogan
“ukhwah fillah” menjadi lapik dan dijadikan bahan ugutan. Jika si siswi
tadi menolak lamarannya, maka hatinya akan hancur, dan ia bertentangan denga
mafhum hadis tadi. Oleh kerana bersimpati dengan si senior tersebut, si
siswi terpaksa menerima lamaran itu. Menarik bukan “trend” percintaan
golongan anta-anti ini.

Seorang siswa juga pernah meluahkan kemarahannya ke atas naqib usrahnya di
bilik penulis. Mengapa tidak, tatkala di dalam usrah, berkepul-kepul dalil
dan fikrah yang dibawanya. Sampaikan ketika pertukaran ke usrah lain, si
naqib meminta siswa tadi agar berbai’ah untuk kekal di dalam perjuangan dan
tidak menyertai jemaah lain. Sayangnya, di dalam perjalanan balik kampung,
siswa tersebut nampak sang naqib berjalan berpegangan tangan dengan naqibah
sekelas mereka...ini yang paling menarik.Lebih hebat lagi, kedua-dua mereka
lengkap dengan aksesori berkopiah dan bertudung litup. Jika di zaman 70′an
dahulu nescaya apa yang dilakukan oleh sang naqib dan naqibah tersebut bakal
menerima cop “kafir” dari pendukung gerakan dakwah yang lain.

Di satu sudut yang lain pula, seorang siswa yang sering menceritakan
kehebatan “Abuya”nya kepada penulis, juga tidak dapat lari dari fenomena
cinta anta-anti ini. Penulis amat kagum dengan siswa yang sering muncul
dengan baju Melayu berkancing dan juga songkok berwarna-warninya ini.
Matanya yang bercelak sahaja sudah cukup untuk rakan-rakan yang lain hormat
kepada beliau. Sayangnya atas takdir Allah, ketika penulis berkunjung untuk
menziarahi beliau, penulis ternampak gambar seorang Muslimah menghiasi
desktop komputer peribadinya. Ditanyakan sama ada itu adik, kakak ataupun
emaknya atau mungkin neneknya, beliau menafikan. Beliau terpaksa mengaku
bahawa itu adalah “kawan”nya. Yang hebatnya,
tertulis di sebelah keayuan wajah gadis tersebut “ukhwah fillah membawa ke
Jannah”.

Persoalannya, adakah fenomena ini sihat? Adakah ia sudah cukup islamik? Atau
penulis yang ketinggalan zaman sehingga naif terhadap trend muda mudi masa
kini? Ataupun fiqh Islamiyy juga perlu diubahkan untuk disesuaikan dengan
perubahan semasa. Di dalam artikel yang terhad ini, penulis tidak berhajat
untuk memberikan hukuman mahupun pandangan terhadap fenomena yang menarik
ini. Biarlah para pembaca membuat penilaian mereka terhadap “sihat” atau
tidak sihatnya budaya ini. Semoaga ada di kalangan pembaca yang akan dapat
memberikan pandangan yang rasional serta boleh diwacanakan.

Wallahu’alam..

dipetik drpd tulisan ust Maszlee Malik
Category:

0 comments:

Share

Twitter Facebook