UCAPAN DASAR PENGERUSI BKS 2010/2011

UCAPAN DASAR PENGERUSI BADAN KEBAJIKAN SURAU AL-GHAZALI SESI 2010/2011

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمد لله المتفضل المحمود، الرحيم الودود، الملك المعبود المعروف بكمال الكرم والجود، أحمد الله على نعمه الممدود، صلاة وسلاما على سيدي المصطفين الأخيار ، وعلى اله الأظهار ، وأصحابه الأبرار أما بعد
Terima kasih kepada saudara Pengerusi tetap
Yang Berusaha Ketua Jabatan Pengajian Islam dan Moral IPG KTB
Yang Dihormati barisan Majlis Syura BKS IPG KTB
Yang Berbahagia Penasihat I dan II Badan Kebajikan Surau Al-Ghazali
Yang Dihormati Saff Kepimpinan Majlis Tertinggi & Exco BKS Sesi 2010/2011
Yang Berusaha Pengarah & Jawantankuasa Pelaksana Mukatamar BKS kali ke-2
Yang Diraikan Dif-Dif Kehormat Dan Para Tetamu Jemputan
Serta Sidang Perwakilan Ahli-Ahli BKS rakan-rakan guru pelatih Yang Dirahmati Allah Sekalian

Alhamdulillah, kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Taala atas anugerah serta limpahan rahmat yang telah diberikan ke atas kita selaku khalifah yang berada di muka bumi Allah ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW, penghulu segala Nabi yang terus merintih mengharapkan perjuangan Baginda disahut oleh umat sekalian alam.
Rasa syukur tidak terhingga dipanjatkan ke hadrat Allah yang mengizinkan Muktamar Sanawi Badan Kebajikan Surau Al-Ghazali kali ke-2 ini berjalan dengan sempurna. Mudah-mudahan perhimpunan tahunan ini menjana kecemerlangan kita selaku persatuan induk yang menjadi nadi pergerakan dakwah islamiah dan persatuan yang merencana aktiviti untuk melahir dan memantapkan kesatuan aqidah,ilmu,sufi dan haraki dalam diri bakal pendidik muda yang beragama Islam di IPG Kampus Tuanku Bainun ini.
Muqaddimah
Wahai saudara-saudaraku, anak-anak muda Islam yang beriman! Wahai orang-orang yang ingin lepas dari ikatan! Wahai orang-orang yang ingin memecahkan belenggu, yang memasung kaki dunia Islam, dari hujung ke hujung, dari barat ke timur!

Ketahuilah! Sejarah itu ada kerana adanya pemuda, sejarah itu pun hidup kerana hidupnya para pemuda. Hidup yang bererti bercahaya ruhaninya, mengakar pemikirannya, dan berkembang gerakannya. Anes Baswedan, Rektor Universiti Paramida menyebut “….Kalau kita berbicara tentang anak muda, kita tidak boleh menempatkan diri mereka pada lapangan lokal saja, tetapi harus dilihat pada lapangan global, sekurang-kurangnya benua Asia. Kerana anak muda dilahirkan tidak hanya untuk negeri, tapi juga untuk dunia…”. Selaku golongan muda yang berada di atas jalan tradisi dakwah baginda sebagai penyampai ilmu dan kebenaran kuasa serta tenaga yang dikurniakan Allah janganlah kita lokek dengan memikirkan kepentingan kita sahaja kerana ingatlah kita dilahirkan bukan untuk diri kita semata-mata tetapi untuk membawa nur Islam yang tercinta menjalar subur dalam jiwa sahabat-sahabat dan anak-anak didik kita kelak agar di mana kita melata, di situ Islam tercerna dalam gerak geri seorang pendokong dan penganut  agama yang mulia hingga ke hujung dunia.
Para perwakilan yang dirahmati Allah,
            Tema ‘MENJANA FIKRAH INSANI, MENJULANG IZZAH ISLAMI’ yang menjadi taruhan pimpinan BKS sesi 2010/2011 telah jelas membawa mesej pembawakan BKS pada tahun lalu. Melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan dan disusun untuk dilaksanakn boleh dikatakan 99.9% daripadanya menjurus kepada tema dan hala tuju yang dibawa oleh pimpinan BKS 2010/2011.
            Meneliti frasa awal dipangkal tema yang diperkenalkan, ‘Menjana Fikrah Insani’ yang menjurus kepada pembinaan daya pemikiran dan pemantapan kefahaman Islam dalam diri guru pelatih Islam di IPG KTB ini, aktivti-aktiviti seperti Kem-kem Halawatul Islam untuk guru-guru pelatih semester persediaan, kuliah-kuliah agama selepas maghrib yang disusun, usrah-usrah kubra dan sughra, meraikan kedatangan para Habaib dan masyaikh serta pelbagai aktiviti umum mahupun khusus mengikut hari-hari kebesaran Islam yang dipertanggungjawabkan atas pundak BKS semuanya adalah bertujuan untuk memantapkan lagi kefahaman terhadap Islam dalam diri kita semua guru pelatih IPG KTB untuk merealisasikan penjanaan fikrah insani yang murabbi.
            Seterusnya frasa ‘Menjulang Izzah Islami’ yang merupakan kesinambungan kepada frasa pertama di awal tadi yang menuntut kami selaku pimpinan BKS 2010/2011 dan kita semua untuk mengangkat martabat Islam di bumi IPG KTB ini telah kita implementasikan melalui kepelbagaian aktiviti, golongan sasaran, jalinan kerjasama, tempat pelaksanaan aktiviti dan sebagainya agar dengan usaha sedemikian kita dapat mengubah persepsi masyarakat kampus dan umum yang menyifatkan Islam itu hanya di surau dan tidak bersifat universal dan sejagat. Dewan Aminuddin Baki ini yang menjadi saksi berlangsungnya majlis diskusi kitab bersama Syeikh Muhammad Nuruddin, Majlis Muktamar dan Malam Rejuvenasi yang diadakan didewan, pertandingan bola tampar antara usrah, majlis berbuka puasa dengan kerjasama JPP IPG KTB yang turut melibatkan non-muslim menjadi bukti wujudnya usaha-usaha untuk mengembalikan kesejagatan Islam itu di IPG KTB ini sekali gus untuk mengembalikan martabat Islam itu sendiri ke tempat yang tertinggi dan sepatutnya supaya setiap daripada kita sedar di mana adanya golongan yang masih menyokong dan mendokong Islam di situ Islam akan terus menyinar dengan pancaran cahaya yang menjadi sumber kepada cahaya-cahaya yang lain agar kehebatan dan nikmatnya dapat dikongsi oleh sekalian alam. Yakinlah wahai saudara-saudaraku seIslam
الاسلام يعلو ولا يعلى عليه
“sesungguhnya Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi melainkan Islam”
Saya menyeru kepada para muktamirin dan muktamirat sekalian, seandainya kita tidak mampu menjadi pendokong-pendokong Islam jadilah penyokong-penyokong Islam dan jangan kita biarkan usia kita yang muda ini berlalu tanpa ada sumbangan untuk kemenangan Islam yang kita yakin dan berazam untuk berintima’ dengannya selagi nyawa menghuni jasad kita. Kerana jasad dan usia kita tidak pernah memungkiri yang kita adalah pemuda dan ingatlah:
”Bukan seorang pemuda yang begitu asyik dengan sejarah ayahnya, saudaranya, atau datuknya, tetapi pemuda yang sebenarnya akan berkata, inilah aku”.
Kita telah disajikan betapa golongan pemuda yang menjadi tulang belakang paling ampuh dalam 23 tahun perjuangan Rasul menegakkan Islam. Kita juga telah acapkali didodoikan dengan kisah pembukaan Kota Constantinopel oleh anak muda 23 tahun, Sultan Muhammad Al-Fateh. Namun, kenapakah kita dan pergerakan kita terus dilihat bergerak secara bermusim dan “sekejap ada sekejap tiada” ? Kelesuan pergerakan kita selaku guru pelatih Islam hari ini dalam memaksimakan peranan sebagai jurubicara ummah berbekalkan modal intelektual yang mahal amat dikesali pelbagai pihak yang meletakkan high-expectation kepada kita, khususnya apabila memasuki era perguruan yang rata-rata berbicara berkaitan keberkesanan sistem pendidikan kita hari ini. Mengapa kita yang mengaku beragama Islam dengan title Muhammad, Nur, Siti dan sebagainya yang melambangkan seorang Islam tetapi tidak berani dan tiada kemahuan untuk melakukan perubahan dengan menerapkan kefahaman Islam dalam bidang yang kita pelajari dan akan kita ajarkan kepada anak-anak didik kita kelak agar kita kembali meleburkan diri kita dalam Islam yang syumul yang tidak pernah memisahkan antara agama dengan dunia.

Sidang muktamirin dan muktamirat yang dikasihi,
Dalam merencana agenda memperkasa lagi tema “MENJANA FIKRAH INSANI, MENJULANG IZZAH ISLAMI” yang menyeru semua muslimin dan muslimat turut serta mengambil bahagian, mengembleng tenaga memperhebat dan merancakkan lagi perjalanan aktiviti BKS pada tahun ini, maka suka untuk saya kongsikan bersama sekaligus menjadi perkara yang penting untuk saya gariskan dalam Muktamar Sanawi BKS pada kali ini sebagaimana yang ditekankan oleh Syeikh Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya yang berjudul ‘Kewajipan Remaja Islam Hari Ini’.
Hadirin hadirat sidang muktamar yang dihormati,
Terdapat 4 paksi utama yang ditekankan oleh Syeikh Yusuf al-Qaradhawi yang menjadi agenda penting untuk kita hayati akan kewajipan sebagai seorang remaja dan bakal memimpin ummah yang telah saya simpulkan:
1.    Memahami Islam secara sohih tanggungjawab remaja soleh
2.    Beramal dengan Islam kewajipan remaja beriman
3.    Berdakwah kepada Islam kewajipan remaja bukti cinta kepada Allah dan Rasulullah
4.    Bersatu atas nama Islam wahdah penjana kekuatan
Warga dewan sekalian,
1.    Memahami Islam Secara Sohih Tanggungjawab Remaja Soleh
Menjadi kewajipan yang utama atas diri kita yang bergelar remaja Islam adalah untuk memahami Islam yang kita anuti ini secara sohih tiada penyelewengan di dalamnya. Paksi utama yang ditekankan oleh Syeikh Yusuf al-Qaradhawi yang merupakan ulama’ yang ulung pada abad ini ialah isu thaqafah atau keilmuan kita tentang Islam. Sejauh mana kita yang merupakan remaja zaman kini meyakini dan mengetahui bahawa Islam yang kita anuti hari ini bahkan pada saat ini adalah islam yang benar-benar hakiki dan sohih yang bermazhabkan Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) dan Islam yang diperjuangkan oleh Baginda Nabi SAW.
Hadirin sekalian,
Kegemilangan sebuah tamadun tidak akan terhasil sekiranya penjanaan ilmu dan thaqafah tidak menjadi dasar dan asas yang kuat dalam mewujudkan sebuah masyarakat yang mempunyai minda kelas pertama di samping nilai ketakwaan kepada Allah s.w.t yang terpasak teguh dalam hati sanubari setiap individu yang menjadi unit dalam masyarakat tersebut. Inilah yang telah dibina dalam tamadun Islam satu ketika dahulu yang telah berjaya memikat hati sejumlah umat manusia di seluruh pelusuk dua pertiga dunia.
Bermula dengan wahyu yang pertama yang telah diturunkan kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w iaitu
“bacalah dengan nama tuhanMu yang telah menciptakan” dalam surah al-Alaq, Islam mula melakar sejarah demi sejarah yang agung yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana tamadun lain di dunia.
Sesungguhnya kota-kota besar Islam yang telah dibuka oleh pejuang-pejuang Islam yang menggabung antara ilmu dan jihad seperti Kordova, Kaherah, Krisek, Acheh, Melaka dan lain-lain telah menjadi tempat tumpuan para ilmuan daripada seluruh pelusuk dunia. Sesungguhnya kemasyhurannya tidak terbina dalam masa sehari dua tetapi pada hakikatnya terhasil daripada suatu proses transformasi yang cukup panjang lagi bersistematik melalui peranan para cendiakawan Islam. Persoalannya, dimanakah tahap keilmuan kita pada hari ini khususnya berkaitan Islam untuk kita bawa selaku pengemudi ketamadunan manusia kini?
Sidang perwakilan dan pemerhati,
Kehebatan tamadun Islam terdahulu terhasil melalui tangan-tangan ulama’ mujtahidin seperti Imam Abu Hanifah, Imam Maliki, Imam Syafie, Imam Ahmad bin Hanbal dan lain-lain lagi di samping sarjana-sarjana agung Islam seperti Al-Haithami, Al-Khawarizmi, Al-Farabi, Al-Kindi, Ibnu Sina dan ramai lagi yang benar-benar memahami dan menjadikan Islam sebagai agama dan cara hidup yang terjaga rapi daripada sebarang unsur yang ingin merosakkannya sepertimana yang telah dijanjikan oleh Allah s.w.t dalam Al-Quran.
Sesungguhnya kekuatan dan kegemilangan umat Islam zaman lampau bukannya tercipta sekelip mata bahkan melalui proses pembinaan dan pentarbiyahan insan secara strategik lagi sistematik sama ada dari segi ekonomi, sosial, pendidikan dan lain-lain. Justeru, gagasan pertama ‘Memahami Islam secara Sohih tanggungjawab remaja soleh’  pada Muktamar BKS kali ke-2 hari ini mengambil falsafah dan inspirasi daripada kejayaan umat Islam terdahulu dalam membentuk negara dan masyarakat yang mempunyai nilai thaqafah Islamiah yang tinggi serta mampu memberikan kebajikan kepada rakyat yang didasari oleh nilai ketakwaan yang tiada tolak bandingnya dalam sejarah manusia.
Justeru,  sebagai remaja yang bakal mengembalikan ketamadunan Islam, maka kesedaran akan kepentingan Ilmu khususnya untuk memahami Islam perlu kita suntik dalam diri setiap daripada kalangan kita agar kita tidak hanya menjadi insan yang mewarisi keislaman nenek moyang kita tetapi kita benar-benar memahami dan menghayati Islam yang kita anuti.
Hadirin sidang muktamar yang dimuliakan,
2.    Beramal dengan Islam Kewajipan remaja beriman
Meneliti paksi kedua yang ditekankan oleh Syeikh Yususf al-Qaradhawi yang menjadi intipati kedua fokus ucapan saya dalam Muktamar BKS kali ke-2 pada malam ini. Setelah kita memahami thaqafah Islam secara mendalam dan meyakini akan kepentingannya ke atas kita selaku golongan intelektual yang professional, berdasarkan sejarah agung Islam terdahulu yang mengaplikasikan ilmu yang mereka miliki untuk mencatat ketamadunan insan, di sini jelas menuntut kita untuk menggabungkan keilmuan dengan pengamalan Islam berdasarkan kefahaman Islam yang sohih.
Apa gunanya kita memiliki ilmu dan kefahaman tentang sesuatu perkara tetapi kita tidak mengamalkannya dengan sebaik mungkin ibarat kata pepatah arab yang sering menjadi bidalan bagi mengibaratkan golongan yang berilmu tetapi gagal mengamalkannya iaitu: ilmu tanpa amal ibarat pohon yang tidak berbuah. Bahayanya golongan yang berilmu tetapi tidak mahu mengamalkannya kerana ia akan menjadi fitnah kepada Islam.
Pengamalan ilmu tulang belakang dalam ajaran Islam. Contoh teladan yang terbaik dalam mengamalkan ilmu  yang dimiliki adalah daripada baginda Rasulullah S.A.W. apabila setiap kali baginda mendapat wahyu dan pentarbiyahan khusus daripada Allah, Baginda akan terus mengamalkannya kerana keseluruhan perjalanan hidup Baginda adalah segala yang diajarkan dalam Islam. Akhlak Baginda adalah al-Quran yang merupakan wahyu daripada Allah kepada Baginda. Anak didik yang lahir daripada madrasah Baginda adalah para sahabat yang benar-benar memahami Islam secara syumul dan sanggup mempertahankan agama Islam walau terpaksa bergadai nyawa. Mereka benar-benar yakin terhadap janji-janji Allah S.W.T. Mereka yakin dengan kebenaran Islam lantas mengamalkannya. Kemuliaan kita adalah dengan Islam. Semestinya Islam yang kita anuti hari ini tidak akan dapat kita rasai nikmatnya jika Baginda dan para sahabat tidak berjuang bermati-matian dalam menyampaikan risalah yang suci ini sebagai bukti pengamalan keyakinan mereka terhadap ilmu yang mereka miliki.
Kemunduran umat Islam pada hari ini adalah antara natijah yang terhasil daripada sikap terlalu memandang rendah dan enteng terhadap soal pengamalan ilmu untuk menghasilkan kesedaran kendiri walaupun setelah ditarbiah sehingga kita semua terpaksa menanggung akibatnya. Hasilnya, hubungan umat Islam makin jauh dengan al-Khalik, tidak yakin dengan kebenaran ajaran Islam dan tidak mengikuti jalan-jalan yang telah ditinggalkan oleh baginda dan para sahabat. Natijahnya, kita gagal menjadi contoh terbaik kepada bangsa dan masyarakat yang lain. Lihatlah realiti persekitaran kita pada hari ini, kita meyakini dan mengetahui batasan-batasan aurat yang diajar dalam Islam, tetapi masih ramai dalam kalangan kita yang mempamerkan bahagian-bahagian batang tubuh yang tidak sepatutnya ditayangkan kepada golongan-golongan tertentu. Dimana bezanya kita dengan agama-agama yang lain? Sedang kita yakini yang kita punyai syariat dan ajaran yang cukup sempurna, namun amalan dan tindakan kita seolah-olah kita redha untuk terus dicucuk hidung diheret ke laman budaya asing yang sumbernya dari agama-agama yang bukan diwahyukan oleh Allah untuk manusia.  Ulama-ulama kini kian dicaci, dicemuh dan dipandang rendah. Majlis-majlis agama yang disusun berat untuk dihadiri, soal-soal yang berkait dengan agama semakin hari telah dikuasai oleh golongan yang tidak sepatutnya. Golongan yang mengetahui ajaran Islam dan mendapat pendidikan Islam semakin menyepi dan lebih berminat untuk memilih berada dalam  zon selesa, tidak mahu menerima ujian yang berat, tidak mahu diuji dengan harta benda dan sebagainya.
Hadirin sekalian,
IPG KTB telah menerima kunjungan ulama’-ulama’ dari Timur Tengah mahupun Nusantara sepanjang tahun lalu. Tidak kurang juga guru-guru pelatih kita yang datangnya dari sekolah-sekolah beraliran agama. Kain yang putih jika tidak dijaga dengan baik, pasti akan dicemari oleh kotoran-kotoran baik secara sengaja mahupun tidak. Begitulah perumpamaan yang dapat dinyatakan di sini. Realiti yang berlaku kepada rakan-rakan kita mutakhir ini cukup meruncing dan membimbangkan. Antara masalah yang kian membarah adalah couple yang semakin menular di kalangan kita, keluar dating antara siswa dan siswi, menyalahgunakan kemudahan teknologi terkini seperti SMS tidak syarie dan seribu macam yang telah berlaku.
Melihat kepada masalah yang telah berlaku ini, Badan Kebajikan Surau al-Ghazali semenjak penubuhannya dari dahulu lagi telah merancang, menyusun dan melaksanakan agenda-agenda tarbiah serta kerohanian dalam melahirkan para guru pelatih yang benar-benar bermutu sebelum mereka pulang dan terjun ke dalam masyarakat untuk berbakti sebagai pendidik yang murabbi. Kita mahu menjadikan BKS sebagai badan dakwah dan kebajikan guru pelatih Islam yang utama dalam melahirkan generasi Ulama’ Rabbani yang akan menyambung risalah agama Islam.
Segala agenda dan perancangan yang telah sama-sama kita rancang pasti tidak akan berjaya sama sekali andaikata tidak ada kerjasama dalam kalangan guru-guru pelatih Islam, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) dan seluruh ahli BKS. Kita semua seharusnya bersama-sama menjayakan program dan segala agenda yang telah kita susun.
Walau bagaimanapun, usrah umum khususnya sering kali dipandang remeh oleh sesetengah daripada kita. Kita seharusnya perlu menyedari akan kepentingan agenda ini dalam membentuk nilai murni dan peribadi seseorang itu sebelum dia memasuki gelanggang dan medan di Malaysia.
Pada tahun ini kita semua hendaklah merancang dan memikir bagaimana hendak menyelesaikan masalah dalam mengendalikan program usrah umum baik dari segi mutu nuqaba’, bentuk penyampaian yang terbaik untuk anak-anak buah dan sebagainya.
Kita semestinya bersama-sama menggerak gempurkan kesedaran dalam jiwa hati nurani kita semua agar ajaran yang bakal dilaksanakan benar-benar berkesan dalam jiwa pemuda dan pemudi kita untuk pengamalan bersama agar keindahan Islam itu terpancar dari setiap gerak geri kita. Konsep al-Ihsan dan Tawakkal kepada Allah mesti diperkemaskan dalam amal Islami. Konsep al-Ihsan adalah sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam hadis baginda Rasulullah yang berbunyi:
أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ
Yang bermaksud: “Hendaklah kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya. Jika kamu tidak melihat-Nya, sesungguhnya Allah melihat kamu.
Kita perlu mempertingkatkan pergantungan yang tinggi kepada Allah ke tahap yang paling maksima. Sejarah telah membuktikan kepada kita bahawa individu yang tidak meletakkan pergantungan kepada Allah, sekalipun dia adalah daripada golongan agama, dia akan terus rebah dan tersungkur apabila diuji dengan wang, harta dan pangkat. Yakinlah amal yang ikhlas lagi ihsan dengan bersulam tawakkal yang tinggi kepada Allah akan membuahkan buah akhlak yang indah hasil tunjangan akar yang kukuh dan mapan.

Sidang dewan yang dihormati,

Kewajipan setiap remaja yang mukallaf yang dikurniakan Allah dengan akal, tenaga, potensi dan kelebihan yang pelbagai bukanlah untuk dipersia-siakan tanpa ada sumbangannya untuk membantu agama Allah. Bukti kecintaan kita kepada Allah yang telah mengurniakan segala kemewahan nikmat ini kepada kita adalah dengan menjalankan tugas kita di atas muka bumi ini sebagai kahlifah dan hamba tanpa terbatas kepada opsyen-opsyen tertentu semata-mata bahkan selagi kalimah syahadah masih terpahat di sanubari kita selagi itulah dakwah dan tugas sebagai khalifah iaitu iqamatuddin wa siasatu dunia bihi (mendirikan agama dan mentadbir dunia dengannya) wajib dilaksanakan.
Menelusuri sejarah perjuangan Baginda SAW, setiap langkah yang baginda atur adalah misi untuk menyebarluaskan dakwah Islamiah ke sekalian alam sehinggalah nikmatnya kini kita dapat merasai kleazatan iman dan Islam itu sendiri. Setelah keimanan itu kita kecapi cukupkah sekadar kita bergoyang kaki dan syok sendiri dengan hanya memelihara Islam yang ada pada diri tanpa menyedari kepentingannya pergerakkan kita dalam menjalankan gerak kerja dakwah agar setiap insan di sekeliling kita turut merasai kenikmatan iman dan Islam seperti mana yang kita rasai hari ini. Justeru tugas ini menjadi tanggungjawab yang tergalas di bahu kita yang mengakui beriman kepada Allah dan utusan-Nya Rasulullah SAW.
Bukti kecintaan kita kepada Allah dengan menggunakan nikmat kurniaan Allah dan kecintaan kita kepada Baginda dengan menyahut seruan perjuangan menegakkan kalimah Allah dalam diri kita dan insan-insan sekeliling kita. Kita adalah mata rantai perjuangan Nabi SAW. Yakinlah dengan janji Allah dalm surah Ali-Imran:31:
31.  Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Sidang dewan yang dimuliakan,
               Dakwah yang kita maksudkan adalah menarik masyarakat Islam masa sekarang yang kian gersang dengan mata air Islam kepada dunia Islam yang sebenar. Perjuangan untuk memindahkan manusia daripada satu dimensi kehidupan kepada satu dimensi kehidupan yang lebih baik menuntut kepada kesungguhan dan komitmen yang tinggi dan upaya yang berterusan tanpa rasa lemah dan mudah berputus asa daripada kita semua yang dikurniakan Allah dengan kesedaran ini.
               BKS mengimpikan al-sahwah al-fikriyyah yang tercerna melalui kesungguhan gerak kerja ahli-ahli BKS di semua lapangan. Kita ingin tegaskan bahawa kita mahu menyahkan fenomena budaya acuh tak acuh dengan gerak kerja dakwah. Kita tidak mahu ahli BKS rentung dalam dunia retorika yang hanya melaung tetapi tidak bertindak, bercakap tetapi tidak beraksi, mengkritik tetapi tidak konstruktif. Dakwah bukannya kata-kata keramat yang ada kuasa tersendiri, sebaliknya dakwah adalah praktikal, kerja, dan lebih banyak “memberi” dari “menerima”. Tiada guna dakwah jika tahu tetapi tidak mahu melaksana. Tiada guna juga mahu tetapi tidak mampu bertahan dengan karenah mad’u.
            BKS mahu mengintegrasikan antara idealisme dengan aktivisme. Kita tidak mahu ahli-ahli BKS mandul upaya dan eksistensi dalam melestarikan renstra (rencana-rencana strategik) yang munazzamah dan al-nahdhah al-harakiyah (kebangkitan yang dirasai oleh orang lain, bukan “syok sendiri”). Kebejatan sosial, budaya kuning yang kian menular, meluasnya penderhakaan, mampatnya hiburan, rosaknya pemikiran, semuanya saya tegaskan merupakan perancangan dan konspirasi musuh Islam dalam melembapkan bahkan menghapuskan umat Islam dari mukabumi. Mereka tidak kisah sekiranya kita tidak mengikut agama mereka asalkan kita mengikut budaya dan pemikiran mereka sehinggalah ke lubang biawak sekalipun. Ambillah pengajaran daripada kejadian makhluk kecil seperti serangga perosak tanaman kobis plutella yang sehingga hari ini tidak ada racun yang mampu melenyapkan serangga itu disebabkan perubahan demi perubahan selepas ancaman racun yang dikenakan padanya.
      Justeru apa yang masih meragukan kita lagi untuk terlibat dalam gerak kerja Islam dalam medan dakwah ini, andai benar kita yakin dengan janji Allah ayuh kita semarakkan agenda dakwah di bumi IPG KTB ini agar murabbi yang lahir daripada IPG KTB ini punya kesedaran Islam yang mantap serta faham kewajipaan mereka untuk terlibat dalam membantu perkembangan Islam serta mengembalikan kefahaman Islam dalam diri dan jiwa masyarakat serta anak didik kita kelak yang merupakan himpunan mad’u yang menanti kita di medan sana.

Warga muktamirin dan muktamirat yang dirahmati Allah,

Seluruh guru pelatih di semua peringkat perlulah menyedari bahawa dengan ikatan kesatuan yang teguh, kekuatan pasti akan terbina. Ini amat bertepatan sekali dengan apa yang telah digariskan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran Surah Ali Imran ayat 103:
وَاعْتَصِمُواْ بِحَبْلِ اللّهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُواْ
yang bermaksud:
“berpeganglah kamu semua dengan tali Allah dan janganlah berpecahbelah”
Oleh itu, segala bentuk proses penjanaan semula ikatan kesatuan antara ahli-ahli dalam Badan Kebajikan Surau perlulah difikirkan bersama melalui aktiviti-aktiviti yang dapat menyatu-padukan seluruh ahli dan sekaligus dapat menghindarkan segala anasir-anasir luar yang dapat memecah-belahkan kesatuan ini.
Di samping itu, komitmen dan kerjasama seluruh guru pelatih Islam di bawah naungan pimpinan BKS amatlah diharapkan dalam menjayakan misi kesatuan dan wahdah yang perlu dilaksanakan tanpa hanya berpeluk tubuh dan mengharapkan barisan kepimpinan sahaja untuk memerah fikiran dan tenaga untuk memastikan ianya berjaya. Gunakanlah seluruh ruang kosong yang dimiliki oleh diri masing-masing untuk berfikir mengenai cara dan strategi yang mantap untuk mewujudkan wahdah yang berterusan yang bertitik tolak dari kesedaran yang mendalam mengenai peri pentingnya kekuatan kesatuan sebuah organisasi yang berdasarkan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW
Selain itu, tembok pemisah antara kelompok guru pelatih Islam yang mengikut opsyen dan batch hendaklah dirobohkan. Sesungguhnya kita tidak mahu lagi mendengar suara-suara sumbang yang memburukkan mana-mana pihak kerana ia akan memburukkan dan merobohkan ikatan perpaduan sesama ahli. Bahkan selama ini, BKS melalui program-program yang dilaksanakannya sentiasa meletakkan satu objektif yang penting iaitu BKS ingin melahirkan ahli-ahli yang mempunyai ilmu dan thaqafah tinggi di samping mempunyai ilmu-ilmu pengurusan yang mantap. Maka penggabungan antara ilmu, sufi dan pengurusan yakni haraki merupakan aspek yang perlu dititikberatkan memandangkan masyarakat kini amat dahagakan mutiara-muatiara ilmu mahasiswa yang cemerlang dan berjaya dalam segenap sudut gerak kerja untuk membimbing mereka ke arah jalan yang diredai Allah SWT.
Sidang muktamar sekalian,
BKS juga menyedari bahawa kehadiran dan pertambahan guru-guru pelatih daripada pelbagai opsyen khususnya opsyen TESL misalnya yang merupakan bakal intelektual Islam pada masa akan datang banyak mencorakkan warna dan gaya kehidupan guru pelatih di bumi IPG KTB ini. Oleh itu, golongan agamawan seharusnya tidak mengambil sikap meminggirkan diri daripada para pelatih yang bukan dari kalangan anak-anak JPIM bahkan integrasi antara kedua-dua belah pihak perlulah diwujudkan dan diperkasakan sebaik mungkin agar ia dapat menjamin kesepaduan dalam membentuk daya fikir untuk mewujudkan ummah yang cemerlang satu hari nanti. Ini adalah sebagaimana yang tercatat dalam sejarah Islam yang tidak pernah memisahkan antara ilmu duniawi atau ukhrawi kerana di mana bumi dipijak oleh anak Adam yang beriman di situ Islam dijunjung oleh setiap yang mukallaf. Jangan kita beranggapan bahawa surau dan BKS itu hanyalah milik pelajar dari opsyen agama dan bahasa arab sehingga kita mengabaikan tanggungjawab kita untuk mengimarahkannya. Memandang serius akan hal ini, bidang tugas lajnah tugas-tugas khas BKS pada sesi 2011/2012 perlu diperkembang lagi dengan menubuhkan unit riadhah dan kesenian Islam bagi menarik minat sahabat-sahabat yang berkemahiran dalam sukan dan permainan alat muzik tradisional Islam untuk bergiat aktif dalam BKS untuk persembahan-persembahan qasidah dan sebagainya. Ingatlah, Allah tidak pernah menjanjikan syurga itu hanya untuk guru pelatih Pengajian Islam dan Bahasa Arab semata-mata bahkan syurga yang luas itu untuk diisi oleh insan-insan yang bertaqwa dan beramal soleh. Selagi kalimah syahadah masih menutur dibibir kita,  marilah sama-sama kita merebut ruang dan peluang berada di bumi Tuanku Bainun ini tanpa mengira dari opsyen mana kita berada untuk menghadiri dan mengimarahkan lagi program-program yang telah diatur dan disusun oleh pimpinan BKS supaya kita dapat menjadi dalil dan penyumbang kepada terpancarnya keizzahaan Islam IPG KTB ini.
Selain itu, pemilihan pimpinan BKS pada tahun ini juga ditetapkan melalui sistem syura yang baru ditubuhkan sebagaimana yang telah diajarkan oleh Baginda Nabi SAW dengan jaminan exco-exco yang telah dipilih tidak hanya terikat dengan usia dan batch semata-mata bahkan setiap pelatih yang difikirkan layak menjadi pemimpin walaupun bukan dari kalangan pelajar PA dan BA akan terus diangkat menjadi pimpinan BKS bagi sesi berikutnya.       
Ingin saya tanyakan di sini
Mengapa kita berpecah sekiranya kita menganuti agama yang sama?
Mengapa kita berpecah sekiranya memiliki akidah yang sama?
Mengapa kita berpecah sekiranya kita ingin menuju syurga yang sama?
Mengapa kita berpecah sekiranya kita memusuhi syaitan dan kemungkaran yang sama?
Asbab berbeza pendapat dan berlainan cara bekerja tidak boleh dijadikan alasan untuk kita berpecah belah. Benar, variasi harus diraikan namun tidak bermakna ia harus dilayan sehingga menjadi faktor pemecah perpaduan.

Kesimpulan
Menyusun kembali rangkap kata, ingin disimpulkan di sini kata kunci utama yang dinyatakan. 4 kewajipan utama remaja Islam yang telah digariskan oleh Syeikh Yusuf al-Qaradhawi yang menjadi intipati ucapan dasar saya dalam muktamar sanawi BKS pada kali ini, ia pada hakikatnya menekankan kesemua aspek yang menjadi teras perlembagaan BKS iaitu keilmuan yakni thaqafah Islam, kesufian yakni amal islami dan haraki yang menekankan aspek dakwah harakiah dan kesatuan ummah ingin dibangunkan sebagai  teras evolusi guru pelatih muslimin yang berjiwa cendekiawan, bersifat proaktif serta disintesiskan dengan guru pelatih muslimat sebagai pemangkin kepada evolusi tersebut. Kesemua elemen ini wajib ditelahi serta dikaji dari aspek nilai perancangan serta perlaksanaannya oleh ahli tanzim sesi seterusnya dalam mengemudi perjalanan BKS di bumi Tuanku Bainun ini kerana kita adalah remaja. Ahli BKS juga turut digalakkan untuk menghayati serta mendiskusikan wawasan yang ingin dibawa agar lompang-lompang idea tersebut dapat diisi serta diperbaiki dalam menjadikan BKS sebagai satu wadah utama guru pelatih Islam di sini.

            Di kesempatan ini juga, ingin saya terbitkan sejuta penghargaan buat warga tanzim sesi 2010/2011 dan ahli BKS secara keseluruhannya yang telah sama-sama berjuang dengan saya dalam mengharungi ombak dan badai dalam menakhodakan bahtera yang bernama BKS ini. Sekalung penghargaan juga ditujukan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan perjalanan agenda BKS pada sesi 2010/2011. Salah dan silap, kekurangan dan ketidaksempurnaan sepanjang kami menjalankan tugas hanya kemaafan yang kami dambakan. 

Baca Lagi

Category:

Share

Twitter Facebook