UCAPAN DASAR PENGERUSI BKS SESI 2007/2009

UCAPAN DASAR PENGERUSI BKS SESI 2007- 2009
Sempena Muktamar Sanawi Kali Pertama
Badan kebajikan Surau
IPG Kampus Tuanku Bainun.
بسم الله الرمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركتة
الحمد لله ثم الحمد لله والشكر لله ولا يستحقه احد سواه, صلاة وسلاما دئمين ابدين على حبيبنا المصطفى وعلى آله وصحبه ومن استن بسنته الى يوم الدين ام بعد.
Terima kasih kepada saudara Pengerusi Tetap
Yang Berbahagia Sohibul Fadhilah Penasihat Badan Kabajikan Surau
Yang Dihormati Saff kepimpinan Badan Kebajikan Surau Sessi 2007- 2009
Yang Berusaha, Pengarah dan AJK Pelaksana Muktamar Sanawi Kali Pertama
Yang diraikan Dif-Dif kehormat dan para tetamu jemputan.
Yang dihormati para perwakilan dan para pemerhati yang dirahmati Allah sekalian

UCAPAN SELAMAT DATANG

Pertama- tamanya, puji-pujian bagi Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang. Selawat dan salam buat kekasih agung, Muhammad S.A.W, serta seluruh keluarga baginda. Saya mulakan ucapan saya dengan mengucapkan Ahlan Wasahlan Wa Marhaban Bikum ke Muktamar Sanawi Badan Kebajikan Surau Al-Ghazali kali pertama. Sekalung penghargaan dan terima kasih buat semua perwakilan dan pemerhati yang terdiri daripada bakal-bakal murabbi dari pelbagai bidang pengajian, yang pastinya mempunyai percambahan idea dan cadangan-cadangan bernas dalam usaha kita merejuvenasikan organisasi Badan Kebajikan Surau Al-Ghazali IPG Kampus Tuanku Bainun ini. Sekali lagi, Selamat Datang ke Muktamar Sanawi Kali Pertama Badan Kebajikan Surau Al-Ghazali IPG Kampus Tuanku Bainun.

MUQADDIMAH

Menggalas tanggungjawab sebagai ‘centre’ syiar Islam di IPG Kampus Tuanku Bainun ini, Badan Kebajikan Surau Al-Ghazali amat memerlukan sokongan semua warga Muslim IPG Kampus Tuanku Bainun. Ini adalah perjuangan kita bersama. Perjuangan untuk menegakkan syiar Islam di IPG ini sekaligus mewujudkan satu bi’ah ( suasana ) yang solehah ( baik ) di sini. Namun begitu, lumrah sebuah perjuangan, pastinya dihidang dengan pelbagai mehnah dan tribulasi. Inilah syarat yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T bagi seorang muslim yang mukmin. Firman Allah dalam Al-Quranul Karim yang berbunyi


الم (1)أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ (2)


Maksudnya: Alif laam miim. Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami Telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?
~ Surah Al-Ankabut ayat 1-2 ~

Hadirin hadirat dan barisan perwakilan yang dirahmati Allah..

Muktamar ini sangat bererti bagi kita semua. Ia membuka lembaran baru dalam bingkisan sebuah perjuangan yang sangat panjang. Muktamar yang julung-julung kali diadakan ini adalah garapan idea daripada penasihat Badan Kebajikan Surau Al-Ghazali, Dr Nazmi bin Desa bersama barisan Ahli Majlis Tertinggi BKS 2007/2010. Saya yakin dan percaya dengan tema yang dipilih iaitu “Menjana Fikrah Islami, Menjulang Izzah Islami”, muktamar sanawi yang dianjurkan buat kali pertama ini akan menjadi satu platform utama bagi semua perwakilan yang turut sama mewakili suara seluruh warga Muslim IPG KTB ini untuk sama-sama bergabung tenaga, menjana fikrah bagi memantapkan lagi organisasi BKS dan seterusnya menjulang ‘Izzah Islami ke peringkat yang tertinggi. Kita tidak mahu segala permasalahan yang timbul berkaitan agama Islam terus menjadi fitnah besar buat warga yang lain. Dan sudah pasti kita tidak mahu kita menjadi punca utama fitnah itu tersebar luas. Maka sekali lagi saya menyatakan keyakinan saya bahawa Muktamar ini akan menjadi satu titik mula kepada sebuah rejuvenasi pemikiran kepada seluruh warga muslim IPG Kampus Tuanku Bainun ini. Saya menyeru seluruh perwakilan, ayuhlah bekerja bersama-sama BKS demi kegemilangan Islam yang kita cintai.

PAKSI PERJUANGAN BKS

Hadirin dan hadirat, barisan perwakilan dan pemerhati yang saya hormati.

Dalam rangka menjana kebangkitan dan keunggulan Islam di IPG ini, suka saya mengingatkan bahawa sebuah organisasi Islam perlu meletakkan teras kekuatan kumpulan di atas paksi penting yang kita sepakati bersama. Memetik kata-kata Hamka yang berbunyi kerapkali orang tua menyesali pemuda bekerja terburu-buru dan kurang berfikir, kerapkali orang muda menuduh orang tua lambat bertindak dan terlalu banyak berfikir.Alangkah sibuknya dunia kalau pimpinan hanya di tangan orang muda dan dunia akan membosankan kerana lambat geraknya kalau pemimpinnya hanya orang tua.Gabungan antara gelora semangat muda dan renungan fikiran yang tua itulah yang menimbulkan keseimbangan dalam kehidupan, maka Ahli majlis tertinggi BKS sesi 2008/2010 telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan beberapa perbincangan bersama-sama penasihat BKS bagi merangka satu perlembagaan sebagai panduan dan rujukan jawatankuasa dan ahli BKS. Justeru izinkan saya mengambil sedikit masa barisan perwakilan dan hadirin hadirat sekalian bagi menjelaskan beberapa elemen penting yang mesti difahami dan digarap serentak dengan semangat yang semakin berkobar-kobar dalam diri kita semua mengembalikan kegemilangan Islam.

Fasal pertama dalam bab kedua perlembagaan BKS menggariskan bahawa visi BKS ialah membangunkan sebuah organisasi yang bercirikan Ilmi, Haraki, Ijtimae’i dan Sufi. Saya berpendapat bahawa setiap gerak amal Islami yang benar-benar menyeluruh adalah sebuah kerja yang dibina diatas manhaj Rasulullah S.A.W yang saling lengkap melengkapi dalam segenap sudut dan hala tujunya. Justeru, BKS menggariskan empat perkara yang perlu kepada satu keseimbangan dalam diri setiap qiyadah (pimpinan) dan jundiyyah (ahli) iaitu ilmu, haraki, ijtima’ei dan sufi. Walau bagaimanapun, gerak kerja Islam yang mempunyai pelbagai aspek umum dan tujuan seperti BKS ini mengkehedaki supaya ditentukan kedudukan mengikut urutan keutamaannya sementara dalam masa yang sama diawasi keseimbangannya. Sebagai contoh, penggarisan Ilmu sebagai tonggak utama BKS bertepatan sekali dengan firman Allah dalam surah Al-Mujadalah ayat 11 yang berbunyi:

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Maksudnya : Nescaya Allah akan meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat. dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Selain itu, diriwayatkan juga daripada Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
“ sesiapa yang dikehendaki Allah kebaikan padanya, maka diberikan kefahaman yang mendalam dalam agama ( Islam )”

Ayat-ayat dan hadis yang saya sebutkan sebentar tadi membuktikan kepada kita tentang kepentingan ilmu pengetahuan bagi mengukuhkan lagi kefahaman tentang sebuah organisasi.
Seterusnya, BKS menjadikan haraki, ijtima’ei dan sufi sebagai elemen-elemen yang perlu dititikberatkan oleh kita semua selaku penggerak utama BKS demi kegemilangan Islam di IPG ini. Hakikatnya, setiap elemen yang digarap ini mempunyai kepentingan-kepentingan tersendiri yang saya akan huraikan bersama-sama hadirin sekalian.

Dari sudut ijtima’ei, saya amat berharap agar barisan pimpinan dan ahli BKS mampu menggandakan usaha bagi menggalas tanggungjawab menjadi agen perubahan kepada masyarakat walau di mana kita berada. Seperti kata orang, dilempar ke laut menjadi pulau, kita tidak mahu penggerak BKS yang juga merupakan bakal Murabbi mendidik anak bangsa bersifat jumud dan tidak terbuka menerima pelbagai aliran dan kerenah masyarakat. Kita impikan generasi yang lahir dari kampus ini menjadi permata dalam masyarakat. Bukan sahaja menjadi guru yang berbakti kepada anak bangsa, malah seorang manusia yang mempunyai nilai-nilai muhibbah, sanggup berkorban dan berganding bahu memastikan masyarakat mendapat manfaat dari diri kita.

Suka saya meneruskan ucapan saya dengan menyebutkan soal haraki yang mana amat penting dalam membentuk saff pimpinan yang mantap. Bertepatan dengan objektif BKS untuk Melahirkan guru murabbi yang berjiwa pemimpin dan berktrampilan dalam setiap kegiatan dakwah di samping cekap dengan kemahiran pengurusan organisasi yang sistematik, kita mengharapkan semua ahli terutamanya barisan pimpinan mendapat satu pengalaman pengurusan yang berharga sepanjang berkhidmat dengan BKS. Saya juga mengingatkan barisan pimpinan supaya mengukuhkan organisasi dalam satu saff yang kukuh dan membentuk satu pasukan yang kuat serta tidak mudah goyah dengan cabaran semasa. Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Saff ayat 4 yang berbunyi :

Maksudnya:
Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.

Elemen terakhir yang menjadi tumpuan BKS ialah kesufian diri di mana setiap warga BKS mestilah sentiasa menjalin hubungan baik dengan Allah S.W.T. Tidak dapat tidak, kekuatan rohani juga perlu dititik beratkan dalam usaha menyampaikan dakwah Islamiyyah kepada Ummat Islam seluruhya. Jangan hanya lantang bersuara di khalayak ramai tapi tidak menjaga hubungan dengan Allah S.W.T. Ingin saya ingatkan di sini, apa juga matlamat yang hendak dicapai mahupun cita-cita dan angan-angan yang ingin digapai, tetapkan bahawa keredhaan Allah S.W.T sentiasa menjadi tujuan pasti dan diletakkan di tempat tertinggi di hati setiap ahli.

Barisan perwakilan, hadirin dan hadirat sekalian,

Saya menegaskan kepada hadirin sekalian bahawa perjuangan di dalam organisasi BKS ini bukanlah satu perjuangan main-main mahupun perjuangan yang sekadar gah di mulut tetapi tiada pelaksanaanya. Maka saya sebutkan di sini bahawa BKS mendokong satu matlamat yang menjadi fokus utama terutamanya kepada barisan pimpinan baru yang bakal dilantik pada malam ini iaitu melahirkan guru Murabbi yang secara total cinta Allah dan RasulNya dan mengamalkan Islam secara syumul berpandukan Al-Quran dan As- Sunnah selaras dengan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Saya sangat tertarik untuk memberikan penghayatan mendalam terhadap ungkapan guru Murabbi itu . Kita sedia makruf tentang kemunculan pelbagai budaya barat yang jauh tersimpang dengan ajaran Islam yang sebenar. Hakikatnya, budaya-budaya ini mengancam kesejahteraan ummah sejagat. Lihat sahaja pada keruntuhan moral yang semakin parah, natijah kehidupan Hedonisme masyarakat hari ini yang menolak kawalan moral sekaligus mengabaikan secara total nilai-nilai keagamaan, juga kebebasan media dan jaringan jalur lebar yang kebelakangan ini sangat melampau. Fenomena-fenomena yang tumbuh agak pantas ini menggusarkan saya dek kerana kita adalah satu angkatan muda yang bakal menentukan masa depan generasi akan datang. Kita bukan sekadar seorang bakal guru yang mengajar tulis baca, malah bakal menjadi mu’addib yang mengajar adab juga tingkah. Malahan kita adalah bakal muslih yakni golongan yang bakal mengislahkan anak-anak kecil membugarkan semula roh keislaman mereka. Bukan sekadar itu, yang paling utama, kita adalah bakal murabbi yang bakal memimpin generasi akan datang untuk mengenal Allah. Maka agak ralat rasanya sekiranya bakal murabbi yang ada di hadapan saya ini tidak diberi ruang dan pendedahan di IPG ini sebagai persediaan kita menghadapi alam kerjaya kelak. Inilah yang BKS ingin tonjolkan. Kita sedar bahawa jalan ini bukan mudah, namun saya yakin dan percaya, dengan kesepaduan saff pimpinan baru yang bakal dilantik pada malam ini akan mampu memimpin dan memandu angkatan guru murabbi yang mampu memberikan jasa dan sumbangan buat Agama, Bangsa dan Negara. Terkenang saya pada ungkapan Al-‘Allamah Dr Syeikh Yusuff Al-Qardhawi : “Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah daripada kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita pada masa hadapan menjadi sebuah negara yang aman makmur”. Maka silalah hadirin dan hadirat bayangkan apa yang bakal terjadi terhadap generasi akan datang sekiranya barisan guru yang bakal dilahirkan ini tidak mantap dari sudut keilmuannya, juga longlai dalam haraki dan ijtima’ei malah rapuh dari sudut kesufiannya. Kita tidak mahu menjadi perintis terhadap generasi jahiliah moden yang menyanjung dunia tanpa menghiraukan akhirat yang hakikatnya menjadi matlamat asal kehidupan manusia.

Barisan perwakilan, hadirin dan hadirat sekalian,

Sementara kita semua sedang peka dengan permasalahan-permaalahan sejagat yang timbul ini, sementara semangat masih lagi berkobar-kobar untuk membangunkan Islam, jangan kita lupa terhadap rujukan tertinggi kita, yakni Al-Quran dan Al-Sunnah. Suka saya sebutkan disini, dalam fasal kelima bab kedua perlembagaan BKS menggariskan bahawa Dasar, Rujukan Tertinggi dan Aqidah BKS ialah Islam, Al-Quran, Al-Sunnah dan Ijma’ serta Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagaimana hadis Rasulullah

'Aku tinggalkan kepada kamu semua dua perkara, di mana kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagimana kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya. (Dua perkara tersebut ialah) Kitab Allah (al-Qur’an) dan Sunnahku.'

Juga hadis Rasulullah yang berbunyi :
Maka, hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa' Ar-Rasyidin Al-Mahdiyyin (Khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baharu (bid'ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid'ah itu adalah sesat."

Maka, tidak ada keraguan lagi bahawa BKS sentiasa mendokong syariah Islam demi menegakkan syiar Islam di dunia amnya dan di kampus ini khasnya. Saya berharap, segala apa yang digarapkan di dalam perlembagaan BKS ini bukan hanya catatan kosong di kertas putih. Sebaliknya, ia adalah satu ikrar dan inspirasi untuk kita bersama-sama memantapkan diri dan organisasi sebagai persediaan untuk kita menghadapi kelompok masyarakat kelak.

SEJARAH HASAN AL-BANNA

Kejatuhan Khilafah Uthmaniah merupakan suatu titik hitam dalam sejarah umat, umat islam mula hilang arah & tujuan, daripada mempunyai satu kesatuan yang amat kukuh dan utuh hinggalah ianya hancur dan runtuh pada tahun 1924 . Namun di sebalik runtuh dan jatuhnya khilafah islamiah tersebut munculnya Imam As-syahid Hasan Al-Banna, Hasan Al-Banna dilahirkan di kota Mahmudiyah, pada bulan Oktober 1906 dan diberikan didikan asas di rumah dengan menghafaz Al-quran dan mempelajari ilmu Islam. Beliau pernah menuntut di pusat latihan guru Damanhur dan memperoleh pangkat pertama dalam peperiksaan di pusat latihan ini. Setelah itu beliau melanjutkan pelajaran ke Darul Ulum pada tahun 1927 dengan mendapat pangkat pertama. Beliau mula mengajar pada tahun 1933 ketika baru berusia 21 tahun di Bandar Ismailiah, Mesir. Hassan Al-Banna adalah hadiah yang paling besar daripada Allah setelah kejatuhan Khilafah Utmaniah Turki. Kehadirannya mengubat luka tercalar akibat penangan proksi barat yang memerintah Negara umat Islam. Kehidupan dan pemikirannya membangkitkan satu revolusi kesedaran dalam masyarakat Islam untuk membebaskan diri daripada penjajah Barat. Imam Al-Banna al-mulhab al Mauhub( seorang yang dikurniakan ilham dan idea yang hebat daripada Allah swt ) diakui oleh para ulama dan pengkaji. Beliau berjaya menyatukan jiwa-jiwa yang pelbagai kepada satu jiwa yang berjuang untuk mengembalikan keagungan Islam, begitulah besarnya jasa beliau terhadap umat Islam di seluruh dunia, walaupun beliau hanyalah seorang insan bergelar guru sekolah rendah, pemuda As-Syahid Imam Hasan Al-Banna.

Sidang perwakilan yang dikasihi sekalian.

Oleh itu, guru pelatih yang merupakan generasi muda perlu bangkit dan menyertai arus kebangkitan dakwah Islam, menyumbang jasa dan bakti terhadap pembangunan jiwa-jiwa yang patuh dan tunduk kepada Allah swt serta menjadi agen perubahan kepada masyarakat. Sirah Rasulullah saw juga menyaksikan Baginda dibangkitkan bersama-sama dengan anak-anak muda yang berani menentang arus jahiliyah. Mereka sanggup berdada dan menyinsing lengan berdepan dengan penguasa yang taghut lagi zalim. Madrasah Tarbiyyah Rasulullah saw melahirkan pemuda-pemuda dakwah seperti Mus’ab Bin Umair , Talhah Bin Ubaidillah, zubair Bin Al-Awwam, Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Uthman Bin Affan, Arqan Bin Abi Al-Arqam dan lain-lain.Mereka adalah anak-anak muda yang diasuh dengan semangat yang kental oleh baginda Nabi saw.

As-Syahid Syed Qutb menyatakan bahawa mereka adalah (جيل القرآن الفريد ( generasi Al-Quran yang unggul hasil manhaj Rasulullah saw. Hanya golongan seperti merekalah yang akan diberikan kejayaan oleh Allah swt

PEMERKASAAN ORGANISASI BKS

Hadirin Yang dimuliakan,
Hasrat untuk melihat BKS berkembang menjadi sebuah organisasi yang kuat tidak akan dapat dicapai tanpa mempunyai sistem pengurusan organisasi yang kukuh. Rasulullah saw menganjurkan umatnya untuk beriltizam dan bekerja di dalam satu pasukan, kerana tidak ada kekuatan andai segala gerak kerja dilakukan dengan secara berseorangan, renung dan insafilah sabda Rasulullah saw:

"فعليكم بالجماعه فانما يأكل الذأب من غنم الخصيه"
“ hendaklah kamu berada di dalam kesatuan, kerana sesungguhnya serigala hanya akan membaham kambing yang terkeluar dari kawanannya”

Barisan pimpinan mestilah diberi pendedahan yang maksimum dalam usaha mewujudkan satu saff pimpinan yang unggul. Kita tidak mahu wujudnya perpecahan dalam pimpinan yang bakal mengakibatkan runtuhnya sesebuah organisasi. Selain dari itu, kualiti ahli sedia ada dan baru juga perlu dijaga supaya mereka akan tahan ujian dan menjadi individu yang menyumbang kepada penerusan perjuangan Islam ini. Pada masa yang sama, kita menyedari bahawa BKS dianggotai oleh individu yang mempunyai pelbagai latar belakang pendidikan dan bidang pengajian. Oleh sebab itu, BKS bersifat terbuka menerima segala pandangan dan pendapat dari semua ahli tanpa mengambil kira aspek-aspek tertentu. Walaubagaimanapun, haruslah diingatkan bahawa kita membawa perjuangan Islam yang sangat indah. Justeru, persediaan dan pengisian ahli perlulah dimantapkan agar mereka faham dan terus beristiqamah mempertahankan kesucian Islam di kampus khasnya.

Apakah kalian lupa bagaimana ‘Asim Bin Amru bersama-sama 600 tenteranya yang meyeberangi Sungai Dajlah dengan kuda-kuda mereka dan menakluk Istana Putih Parsi, sehinggakan musuh menganggap mereka jin dan bukan manusia. Apakah kalian lupa al-‘Ala’ bin Al-Khadrami yang menyeberangi lautan Bahrain hanya dengan kuda. Apakah kalian lupa peristiwa batalion malaikat terbaik yang turun membantu tentera Badar. Semua mereka mendapat pertolongan daripada Allah kerana hati mereka bersih, sebersih salju yang turun berguguran. Mereka berjuang untuk Islam dan dalam pada masa yang sama mereka menjaga hati dan ibadah mereka, seolah olah merekalah singa di siang hari dan abid yang soleh di malamnya. Mulut mereka terkumat kamit dan senantiasa basah dengan bacaan Al-Quran dan zikir yang tidak putus-putus . Jiwa mereka sentiasa terang dengan semangat mujahadah dan muhasabah sehingga menerbitkan kesedaran jiwa dan pencerahan hati. Kalangan mereka ada yang mengerjakan solat isyak dua jam lamanya , kalangan mereka tenggelam dan lemas dalam sehingga orang menyangka mereka hilang akal. Kalangan mereka ada yang menjadikan Al-Quran sebagai sahabat sehingga mereka resah apabila berjauhan dengan Al-Quran.

Muktamirin dan muktamirat yang dikasihi sekalian,

Sesungguhnya, kerja-kerja meninggikan syiar Islam itu tidak boleh dicapai tanpa melalui satu tanzim (organisasi) dan tanzim itu mestilah kemas lagi teliti. Saya tegaskan disini bahawa, peningkatan dan perubahan itu tidak akan dicapai melalui ucapan-ucapan kosong di pinggir-pinggir jalanan, mahupun tulisan-tulisan bisu di warkah putih, sebaliknya ia mesti direncanakan dengan sebaik mungkin hasil cantuman idea beberapa akal yang waras dan hati yang beriman anugerah Allah. Adalah menjadi kemestian supaya dirancangkan sesebuah organisasi itu satu pelan tindakan, lalu gerak tindakan dan seterusnya metod untuk melaksanakan segala rancangan yang diatur. Kesemua keperluan ini tidak mungkin tercapai tanpa tanzim. Tanpa tanzim, segala perancangan hanya tinggal angan-angan, tidak direalisasikan… Kalau ada sekalipun, ianya hidup secara pinggiran dari kenyataan orang ramai dan lama kelamaan bakal pupus lalu padam tanpa meninggalkan sebarang kesan. BKS tidak mahu ini tejadi kepada seluruh warga kampus. Jika perkara ini terjadi, maka berlakulah pembaziran waktu di kalangan umat Islam yang sangat merugikan agama. Kepada pimpinan yang bakal dilantik pada hari ini, suka saya tegaskan sekali lagi bahawa setiap perancangan dalam organisasi mestilah teliti dan rapi agar tidak ditewaskan oleh perancangan-perancangan musuh agama. Ingatlah, kebaikan yang tidak dirancang boleh dikalahkan oleh kejahatan yang dirancang.

Hadirin dan hadirat sekalian,

PENUTUP

Memandangkan muktamar ini adalah muktamar yang pertama, saya menyeru barisan pimpinan yang bakal dilantik supaya menginsafi bahawa anda adalah wakil suara-suara seluruh warga kampus yang ingin melihat kebangkitan syiar Islam di kampus ini. Justeru, janganlah bersenang lenang dengan jawatan yang diamanahkan. Sesungguhnya, kalian adalah pilihan Allah. Dengan terlantiknya barisan pimpinan yang baru ini, maka telah termeterailah janji Allah untuk diberi segala ganjaran yang dijanjikan pada masa yang sama kemurkaan Allah sekiranya mengkhianati amanah yang disandarkan ini.

Namun begitu, usah kita risau dan resah. Berusahalah sedaya mungkin menyebarkan syiar Islam di kampus ini khasnya sambil tidak lupa memohon dari Allah agar dipermudahkan segala urusan. Jangan dilayan rasa tidak mampu itu.. Yakinlah dalam diri bahawa Allah tidak merencanakan sesuatu itu sekadar sia-sia. Pasti ada hikmah di sebalik pentaklifan ini. Renunglah firman Allah yang berbunyi :

لاَ يُكَلِّفُ اللّهُ نَفْساً إِلاَّ وُسْعَهَا لَهَا مَا كَسَبَتْ

Maksudnya : 286. Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya

Akhir kata, marilah kita sama-sama berganding bahu dengan penuh iltizam dan keazaman untuk mengembangkan Islam berbekalkan ikatan ukhuwwah Islamiyyah yang lebih teguh di semua peringkat yakni pimpinan dan ahli bagi mendepani cabaran yang mendatang. Ayuh, jangan jemu meminta dari Allah agar diiringi jalan perjuangan ini dengan keberkatan dan maghfirah yang tidak putus-putus dariNya. Di kesempatan ini juga saya mewakili Barisan Saff kepimpinan BKS sesi 2007-2009 menyusun jari sepuluh kepada semua pihak andai ada kesilapan dan kesalahan yang kami lakukan sepanjang memikul amanah ini.Marilah kita mengakhiri bicara ini dengan mengatur permohonan terhadap ilahi agar islam tetap kukuh dan terus berkembang mekar , agar dakwah dan gerakan dakwah terus subur berbunga. Mudah-mudahan kita semua sentiasa mendapat pandangan rahmatNya, sentiasa beradadalam lindungannya, disenaraikan sebagai hamba dan pejuangNya yang terpilih serta akan kembali kepadanya dengan aman dan sejahtera.

Wabillahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.





Category:

1 comments:

Dx said...

taniah di atas ucapan dasar....
Insya Allah kepimpinan Badan Kebajikan Surau...mampu mmebawa tema iaitu “Menjana Fikrah Islami, Menjulang Izzah Islami”,

ucapan dasar adalah perkara yang patut dicontohi....terutamanya di Kampus saya...

Selamat “Menjana Fikrah Islami, Menjulang Izzah Islami”,

Share

Twitter Facebook