ISRAEL TERUS MELAKUKAN SERANGAN BESAR-BESARAN TERHADAP PALESTIN





“Masa itu saya sedang makan malam dan kedengaran macam peluru berpandu. “ Beberapa saat kemudian rumah keluarganya terkena tembakan. “Saya terlambung ke udara dan kemudian mendapati saya terjatuh di lantai rumah jiran”, Abu-Fatahi menceritakan detik-detik tragedi yang menimpa diri dan keluarganya (15 ahli keluarganya tercedera) dengan air mata berlinangan.


Statistik sekarang (30/12/2008) lebih kurang 350 orang telah terbunuh dan 1500 orang tercedera (angka ini masih konservatif – angka sebenar dijangka meningkat lebih banyak), dan pihak Israel masih meneruskan serangannya di semenanjung Gaza, Palestin. Kebanyakkan yang terbunuh adalah orang awam dan polis. Sekurang-kurangnya 27 kanak-kanak telah terbunuh. Serangan udara Israel telah mengugurkan bertan-tan bom dan peluru berpandu, jam demi jam. Serangan udaranya hampir melumpuhkan semua institusi keselamatan, sebahagian institusi kesihatan, malah universiti dan masjid juga ada yang dibom. Selain itu, serangan juga dilakukan disempadan, menyulitkan usaha bantuan dihantar dan pesakit dikeluarkan. Ribuan tentera simpanan Israel dan kereta-kereta kebal telah dihantar ke sempadan untuk bersedia dengan serangan darat secara besar-besaran.

Menurut laman web islamonline, pemusnahan di semenanjung Gaza (dengan penduduk yang padat, 1.5 juta orang) telah menjadikannya seolah-olah sebuah kubur yang besar. Senario orang menjerit dengan penuh hiba sambil mengusung mayat sanak-saudara untuk dikebumikan berulang berterusan. Pasukan pertahanan awam kelihatan sangat terdesak membantu mengeluarkan mayat-mayat dari runtuhan dan timbunan batu-batu serta bangunan. “kami menemui banyak mayat yang tiada kaki atau kepala”, kata seorang pegawai pertahanan awal. Yang lain-lain pula kelihatan mencari-cari sanak-saudara yang hilang dalam serangan Israel itu.

Alasan Israel: Israel menyatakan (kononnya) mereka terpaksa melakukan serangan besar-besaran untuk mengelakkan Palestin terus melancarkan tembakan meriam pejuang-pejuang Palestin. Mereka akan terus menyerang, mengebom dan mungkin melakukan serangan darat besar-besaran sehingga Palestin langsung tidak ada keupayaan mengugat mereka.

Sebenarnya Israel akan menghadapi pilihanraya dalam negaranya pada awal tahun 2009. Ahli-ahli politik yang menunjuk belangnya dalam berhadapan dengan pihak Arab, khususnya Palestin dan Lebanon selalunya akan mendapat undi yang banyak daripada rakyatnya, Justeru, semua pihak yang berkenaan di Israel telah menunjukkan sikap agresifnya terhadap Palestin. Lalu mereka menggunakan antara kelengkapan perang tercanggih di dunia ini untuk menghancurkan rakyat Palestin yang hanya berbekalkan senjata buatan sendiri.
Mereka mendakwa hanya ingin menghapuskan pemerintah daripada puak Hamas. Namun, ramai orang awam, kanak dan orang perempuan yang terbunuh. Mereka mendakwa pihak Hamas tidak dapat berdamai dengan mereka dan mengalakkan serangan berani mati atau melancarkan meriam ke kawasan-kawasan sempadan dalam negaranya. Sebenarnya itu kelicikan mainan media Israel. Israel yang selalu membunuh rakyat Palestin yang menyebabkan pihak Palestin membalas dengan senjata tidak canggih mereka yang sangat sedikit menyebabkan kematian rakyat Israel. (Contohnya dalam serangan Israel selama lima minit pada hari Sabtu 27/12/08 telah membunuh lebih ramai daripada yang dibunuh oleh Palestin selama lima tahun yang lalu).

Perlu difahami bahawa Palestin hanya ingin mempertahankan diri dan negaranya. Pada tahun 1946 mereka menguasai sebahagian besar kawasan asal bumi Palestin (lihat kawasan berlorek dalam peta di bawah) selepas tahun 2000 ianya menjadi sebaliknya. Mereka pula yang diusir dan sentiasa diperangi sehingga mereka semakin tiada tempat untuk didiami.

Sokongan Umat Islam: Pemimpin Amerika, malah Mesir dan Fatah sendiri telah menyalahkan Hamas kerana memberhentikan gencatan senjata. Negara-negara Arab lain juga mengambil sikap berlengah-lengah dalam mencari penyelesaian terhadap konflik terbaru. Hanya sedikit sahaja Negara atau kumpulan yang lantang menyuarakan bantahan terhadap krisis terbaru ini.

Sebaliknya dengan ummat Islam di seluruh dunia, khususnya dirantau Arab. Mereka keluar beramai ke jalan-jalan raya menyatakan bantahan. Bantahan bukan sahaja dihadapkan kepada Israel dan Amerika, malah mereka juga mengutuk keras sikap pemimpin-pemimpin mereka yang seolah-olah membiarkan Palestin bermandikan darah.

Apa Yang Boleh Kita Lakukan?
1. Berdoalah dengan penuh ikhlas dan penuh berharap. Solat hajat dan mohonkanlah diselamatkan umat Islam Palestin dan dihancurkan Israel. Bacalah qunut nazilah dalam sembahyang fardhu.
2. Sebarkan maklumat sebegini dan jadikanlah masyarakat lebih sensitif dengan saudara Islam seagama.
3. Boikotlah barangan atau syarikat-syarikat yang member sumbangan besar kepada Israel. Dicadangkan (untuk menambah keberkesanan boikot) barangan atau syarikat-syarikat berikut (untuk keterangan terperinci kenapa barangan berikut perlu diboikot, rujuk http://www.inminds.co.uk/:

4. Beri sumbangan/infak anda. Menurut Dr Yusuf Qaradhawi, berinfak kepada saudara kita di Palestin sudah menjadi kewajiban pada hari ini:

Berilah sumbangan anda melalui mana-mana jemaah Islam di Malaysia. Anda juga boleh menyumbang melalui ABIM dan WADAH negeri Kedah (04-7315317) @ 019-475-574-1). Sumbangan anda juga boleh dimasukkan ke dalam akaun “TABUNG AMANAH DAKWAH”, BIMB – 02011010061452 (diuruskan oleh jawatankuasa amanah Wadah, Abim dan Persida negeri Kedah).

( Depetik sepenuhnya drpd : ahmadsuki.blogspot.com)
Baca Lagi

PANORAMA MENARIK SURAU AL-GHAZALI







Sila Klik untuk Besarkan
Baca Lagi
Category: 0 comments
Reactions: 
Links to this post

TINTA BUAT REMAJA-kartun





SILA KLIK PADA GAMBAR UNTUK BESARKAN
Baca Lagi
Category: 0 comments
Reactions: 
Links to this post

TOKOH ULAMA NUSANTARA-TOK KENALI

Sunday, November 12, 2006
Tok Kenali ulama peringkat wali
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah


DALAM sekian banyak e-mel yang saya terima, ada orang memprotes kenapa sudah sekian banyak ulama Nusantara yang diperkenalkan dalam halaman Agama Utusan Malaysia, namun cerita tentang Tok Kenali tidak muncul?.

Pada prinsipnya kisah semua ulama Nusantara akan saya muatkan dalam akhbar ini, hanya gilirannya belum sampai. Ada ulama kisahnya disegerakan dan ada yang artikelnya masih dalam pemerosesan.

Tok Kenali ialah satu nama yang paling terkenal dalam dunia pengajian Islam menggunakan sistem pondok di Malaysia. Bahkan beliau juga terkenal di seluruh alam Melayu. Oleh itu, memang riwayat beliau perlu diketahui oleh masyarakat. Dalam dua keluaran terakhir perbicaraan tentang ulama, telah disentuh perjuangan tokoh yang antipenjajah (Tok Ku Paloh Terengganu dan Haji Sulong al-Fathani). Ada orang berpendapat bahawa Tok Kenali tidak pernah terlibat dalam perjuangan yang bercorak demikian.

Bagi saya, pendapat seperti demikian itu adalah hanya ditinjau dari satu sudut yang belum menyeluruh. Tok Kenali ialah murid yang paling dipercayai oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, oleh itu hampir-hampir tidak ada satu rahsia perjuangan Syeikh Ahmad al-Fathani yang tidak diketahui oleh Tok Kenali.

Di sini saya sentuh sedikit saja. Syeikh Ahmad al-Fathani ialah tokoh pertama dari lingkungan dunia Melayu sejagat yang secara diplomatik pergi ke Istanbul, Turki untuk melaporkan perbuatan tiga bangsa yang menjajah di dunia Melayu ketika itu. Bangsa-bangsa itu ialah Inggeris, Belanda dan Siam.

Walau bagaimanapun, supaya suasana tidak selalu keras dan tegang dalam corak pemikiran jihad zhahiri, kisah Tok Kenali saya fokuskan kepada pemikiran jihad shufi. Jihad zhahiri lebih menitikberatkan perjuangan secara fizikal, sedang jihad shufi lebih mengutamakan pembinaan dalaman, qalbi atau hati dan rohani. Kedua-dua jenis jihad itu adalah penting dikombinasikan secara sepadu. Selain itu dalam disiplin ilmu akidah dan tasawuf ia dikenali dengan istilah ‘Wali Allah’ dan ‘karamah’ (istilah Melayu: keramat).

Tradisi penulisan para ulama Islam juga banyak menceritakan tentang ‘karamah’ para Wali Allah. Tulisan saya dalam Utusan Malaysia yang telah lalu (133 siri) tentang ‘karamah’ sengaja tidak saya sentuh kerana saya lebih mengutamakan riwayat yang berdasarkan fakta. Oleh kerana ramai yang minta kepada saya supaya menulis tentang karamah yang pernah berlaku pada Tok Kenali maka permintaan itu saya paparkan berdasarkan cerita yang telah saya kumpulkan daripada pelbagai sumber sejak tahun 1950-an lagi.

Karamah Tok Kenali

Nama sebenar Tok Kenali ialah Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad al-Kalantani, lahir pada 1287 H/1871 M, wafat Ahad, 2 Syaaban 1352 H/19 November 1933 M. Yang saya riwayatkan ini adalah berdasarkan pelbagai cerita yang saya dengar, oleh itu tidak terikat sangat dalam sistem penulisan ilmiah.

Yang saya ingat pada tahun 1953, ibu saya Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani hanya menyebut nama murid ayahnya itu dengan istilah Awang Kenali. Menurutnya, Syeikh Ahmad al-Fathanilah yang pertama menggunakan istilah ‘Awang’ itu. Riwayatnya, sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani menjadi utusan ulama Mekah ke Beirut dan Mesir untuk menyelesaikan pertikaian pendapat antara Saiyid Yusuf an-Nabhani (Beirut) dengan Syeikh Muhammad Abduh (Mesir) dalam rombongan itu, Awang Kenali ikut serta.

Ketika sampai di Bukit Tursina, kerana di tempat itulah Nabi Musa mendengar ‘Kalam Allah’, Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruh murid-muridnya munajat secara khusus. Awang Kenali ditugaskan supaya minta menjadi ulama. Nik Mahmud ditugaskan munajat minta menjadi seorang pembesar Kelantan. Setelah Tok Kenali munajat, Syeikh Ahmad al-Fathani menyatakan bahawa ilmu Awang Kenali tinggi hanya mencapai ‘awan’ tidak menjangkau kepada langit. Ilmu yang sampai ke peringkat ‘awan’ itulah yang dapat dijangkau oleh kebanyakan ulama di tanah Jawi.

Daripada perkataan ‘awan’ itulah kemudian bertukar menjadi ‘Awang’. Cerita yang sama juga saya dengar daripada Haji Wan Ismail bin Hawan, Qadhi Jala (cerita didengar pada tahun 1970). Dalam surat-surat Syeikh Ahmad al-Fathani kepada pihak lain, termasuk kepada orang Arab dan Turki, apabila melibatkan muridnya itu, beliau mengekalkan tulisan dengan istilah ‘Awan Kenali’ saja tanpa menyebut nama lainnya.

Pada tahun 1969 saya dengar cerita bahawa Tok Kenali pertama-tama datang ke Mekah penuh dengan peristiwa yang pelik-pelik (ajaib). Kehidupan sehari-harinya penuh dengan tawakal. Beliau tidak mempunyai pakaian yang lebih daripada sehelai, tidak memiliki wang, tidak siapa mengetahui beliau makan ataupun tidak pada setiap hari siang ataupun malam. Hampir-hampir tidak ada orang yang mengenalinya di Mekah ketika itu.

Orang yang tidak mengenalinya hanya memperhatikan keanehannya berada dari satu halaqah ke satu halaqah yang lain dalam Masjid Haram, Mekah. Keberadaannya dalam sesuatu halaqah tidak pula membawa sesuatu kitab seperti orang lainnya. Pada kebanyakan masa ketika duduk dalam halaqah beliau memejamkan mata, orang menyangka beliau bukan mendengar pelajaran tetapi tidur. Antara ulama yang mengajar dalam Masjid al-Haram ketika itu ada yang tembus pandangannya, diketahuinyalah bahawa pemuda yang aneh itu bukanlah sembarangan orang, martabatnya ialah seorang ‘Wali Allah’.

Walau bagaimanapun, tidak seorang ulama peringkat Wali Allah di Mekah mahu membuka rahsia itu kepada murid-muridnya. Ketika Tok Kenali sampai di Mekah, Syeikh Ahmad al-Fathani telah mengetahui pemuda yang berasal dari Kelantan itu, tetapi sengaja tidak dipedulikannya kerana pada firasat Syeikh Ahmad al-Fathani pemuda Kelantan itu sama ada lekas ataupun lambat akan datang juga kepada beliau.

Dalam masa berbulan-bulan peristiwa seperti di atas, pada satu ketika Tok Kenali mengunjungi halaqah Syeikh Ahmad al-Fathani. Tok Kenali duduk jauh di belakang pelajar-pelajar lain. Syeikh Ahmad al-Fathani telah mempersiapkan sekurang-kurangnya tiga kemusykilan atau masalah, yang pada pemikiran Syeikh Ahmad al-Fathani tidak akan dapat dijawab oleh siapa pun yang hadir dalam majlis pengajiannya, kecuali seseorang itu memiliki pandangan ‘kasyaf’ ataupun telah memperoleh ‘ilmu ladunni’.

Sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani melemparkan pengujian atau pertanyaan kepada semua pelajar, Tok Kenali seperti orang tidur-tidur saja. Semua pelajar terdiam, tidak seorang pun berkemampuan menjawab masalah yang dikemukakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Tiba-tiba Syeikh Ahmad al-Fathani menyergah pemuda Kelantan yang sedang tidur. Pemuda itu terkejut. Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruhnya supaya datang ke hadapan duduk bersama beliau. Disuruhnya pemuda Kelantan itu menjawab masalah ujian yang dikemukakan lalu semuanya dijawab dengan sejelas-jelasnya.

Setelah peristiwa itu Tok Kenali menjadi murid yang paling mesra dengan Syeikh Ahmad al-Fathani. Bahkan Tok Kenali menjadikan dirinya sebagai ‘khadam’ kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Seluruh gerak dan diam Tok Kenali hanyalah berkhidmat kepada gurunya itu, kerana diketahuinya bahawa seluruh kerja Syeikh Ahmad al-Fathani semata-mata untuk kepentingan agama Islam dan bukan kepentingan peribadinya. (Cerita yang sama juga didengar daripada Tuan Guru Haji Mahmud bin Yusuf Juani di Pondok Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970. Beliau ialah murid Tok Bermin, sahabat Tok Kenali).

Hampir semua murid Tok Kenali yang pernah saya temui meriwayatkan bahawa orang yang pernah belajar dengan Tok Kenali semuanya mendapat kedudukan dalam masyarakat. Apabila seseorang murid itu lebih berkhidmat kepada beliau maka ternyata akan lebih pula ilmu yang diperolehnya. Demikian juga kedudukan dalam masyarakat. Yang dimaksudkan berkhidmat di sini ialah ada yang pernah menyiram Tok Kenali ketika mandi. Bahkan ada murid yang pernah membasuh beraknya sesudah buang air besar.

Murid yang sampai kepada kedua-dua peringkat ini saja yang menjadi ulama besar, antara mereka termasuk Syeikh Idris al-Marbawi dan Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti. (Sumber cerita ini daripada murid beliau, Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, Mufti Mempawah, yang didengar pada tahun 1969 di Mempawah; Tuan Guru Haji Mahmud di Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970; Qadhi Haji Wan Ismail bin Hawan di Jala pada tahun 1970; Tuan Guru Haji Abdur Rahim Kelantan di Mekah pada tahun 1979, dan masih ada yang lain yang belum perlu disebutkan.)

Walaupun telah diketahui umum Tok Kenali berasal dari Kelantan tetapi sewaktu saya mengembara ke negeri Caiyya (nama asalnya Cahaya) yang terletak jauh ke Utara Patani dan Senggora, orang tua-tua bercerita bahawa asal usul datuk nenek Tok Kenali adalah dari Cahaya. Diriwayatkan ada dua atau tiga kali Tok Kenali pernah datang ke negeri Cahaya. Setiap kali Tok Kenali datang beliau dimuliakan orang. Tempat yang menjadi laluan Tok Kenali dihamparkan dengan kain kuning, demikian juga tempat duduknya. Orang ramai datang berduyun-duyun menziarahi Tok Kenali kerana mengambil berkat keramatnya. Ada orang tertentu yang didoakan oleh Tok Kenali ternyata dikabulkan oleh Allah sebagaimana doa yang beliau ucapkan (riwayat ini didengar di Caiya (Cahaya) pada 1992).

Penulisan

Penglibatan Tok Kenali dalam penulisan adalah sebagai bukti beliau seperti juga ulama-ulama terkenal lainnya. Beliau ialah Ketua Pengarang majalah Pengasuh yang pertama ketika majalah itu mula-mula diterbitkan. Dari sini dapat kita buktikan bahawa majalah Pengasuh merupakan majalah Islam yang paling lama dapat bertahan di Nusantara. Majalah Pengasuh masih kekal diterbitkan hingga sekarang ini (1427 H/2006 M) oleh Majlis Agama Islam Kelantan. Semua majalah Islam di Nusantara yang diterbitkan peringkat awal, bahkan termasuk yang agak terkebelakang, semuanya tidak diterbitkan lagi.

Karya-karya Tok Kenali yang ditulis dalam bentuk risalah atau kitab pula antaranya ialah Risalatud Durril Mantsur, yang selesai ditulis pada bulan Jumadil Akhir 1310 H/Disember 1892 M. Kandungannya merupakan terjemahan dan penjelasan fadhilat Burdah Bushiri. Dicetak dalam bentuk huruf batu/litografi oleh Syeikh Abdullah Mujallid, Mekah pada Jumadilakhir 1310 H.

Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu sharaf pula ialah Madkhal Kamil fi 'Ilmis Sharfi, selesai penulisan pada 15 Rabiulawal 1351 H. Kandungan merupakan karya tashhih tentang ilmu sharaf. Kemungkinan maksud daripada gurunya Syeikh Ahmad al-Fathani, iaitu karya berjudul Abniyatul Asma' wal Af'al. Dicetak oleh Mathba'ah al-Asasiyah al-Kalantaniyah atas perbelanjaan Haji Wan Daud bin Haji Wan Sufyan.

Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu nahu pula ialah Mulhiq li Miftahit Ta'allum fi I'rabi Matnil Ajrumiyah wal Amtsilah 'ala Ratbih, selesai penulisan pada 29 Sya’ban 1354 H. Membicarakan ilmu nahu merupakan huraian kitab Matn al-Ajrumiyah. Kitab ini dikumpulkan atau ditulis kembali oleh salah seorang muridnya iaitu Tuan Guru Haji Abdullah Thahir bin Ahmad, Bunut Payung. Dicetak oleh Persama Press, Pulau Pinang atas kehendak Tuan Guru Abdullah Thahir bin Ahmad bin Muhammad Zain pada 9 Safar 1356 H.
Baca Lagi

TINTA BUAT REMAJA- Cinta Anta -Anti

Alaf yang serba unik telah menyaksikan bagaimana para
remaja dan belia dakwah tidak dapat lari dari fenomena cinta. Menariknya,
cinta yang mereka alami ini telah di”Islamik”kan seperti mana bank-bank,
institusi-institusi kewangan lain diislamkan. Maka timbullah istilah “Cinta
ukhwah”. Ayat-ayat dan hadis-hadis sering dijadikan alat untuk
menjustifikasikan apa yang dilakukan. Menarik lagi gejala ini menular di
kalangan mereka yang berkopiah, berserban, bertudung litup, naqib-naqibah
usrah dan mereka yang menggunakan ganti nama “ana - anta dan ana - anti”.

Sms,Yahoo Messenger, email dan lain-lain kemudahan perhubungan era ICT telah
menjadi penghubung utama cinta “anta-anti” ini. Ia lebih selamat, kerana
tidak perlu berdating seperti pasangan yang tidak Islamik. Tidak perlu
membazir tambang teksi, tambang bas dan juga membazir membeli kertas kajang
berbau wangi dan dakwat yang berwarna-warni seperti mana halnya anak-anak
muda lain yang jauh dari arus kebangkitan Islam. Bermula dengan kata-kata
tazkirah, berakhir dengan ikon senyuman, teddy bear dan kadang-kadang gambar
wanita bertudung.

Malah ada yang menjadikan kehadiran di seminar-seminar, kursus-kursus dan
juga wacana-wacana ilmiah sebagai peluang untuk berjumpa. Bagi yang aktif
berpersatuan pula, mesyuarat-mesyuarat dan aktiviti-aktiviti persatuan
sering menjadi medan pelepas rindu. Alahai…kreatif betul anak-anak muda
dakwah alaf baru ini.

Fenomena yang berlaku ini dimeriahkan dan dikosmetikkan lagi oleh
nasyid-nasyid Melayu yang berpaksikan cinta muda-mudi. Klip-klip video
nasyid pun, tajuk-tajuk yang bombastik berbau cinta asmara. Hakikatnya,
fenomena cinta “anta-anti” ini semakin ketara dan semakin rancak. Ada yang
berakhir dengan perkahwinan, dan ada juga yang kecewa di pertengahan jalan,
dan tidak kurang juga yang telah menjerumuskan kedua-dua pasangan ke lembah
maksiat. wal’iyadhubillah…



Salah Faham ukhwah fillah


Teringat juga penulis kepada satu fenomena apabila seorang siswi datang
mengadu dia diusik oleh Pak Lebai. Bukan sekadar sms, kad ucapan hari lahir,
kad hari raya, malah sejambak bunga ros di hari lahir juga telah dikirimkan
oleh Pak Lebai tersebut.Tidak tahulah penulis apakah tanggapan masyarakat
terhadap fenomena seumpama ini. Yang pasti di setiap kad, sms dan di
jambangan bunga tersebut terukir kata-kata “ukhwah fillah kekal
abadi..”.sekali lagi makna ukhwah disalah gunakan.

Satu kes yang lain pula, seorang siswa meluahkan kekecewaannya apabila
dihampakan oleh seorang siswi yang satu “jemaah” dengannya. Beliau tidak
sangka setelah berpuluh-puluh minggu mereka bertukar-tukar sms dan tazkirah
melalui email, akhirnya siswi tersebut bertunang dengan orang lain yang juga
satu “jemaah” dengan mereka.Aduh..lagi hebat daripada filem “Love Story”
yang pernah popular di tahun-tahun 70′an dahulu. Yang pasti, sekali lagi
tema “ukhwah fillah” menjadi “camouflagde” ke atas perhubungan antara dua
jantina yang ada kesedaran Islam ini.

Dalam satu insiden yang lain pula, seorang siswi pernah meminta pendapat
penulis. Seorang seniornya yang sedang menuntut di dalam IPT yang sama
dengan beliau telah bersungguh-sungguh melamarnya. Walaupun telah ditolak
lebih 20 kali, namun si teruna terus melamarnya juga.Sekali lagi slogan
“ukhwah fillah” menjadi lapik dan dijadikan bahan ugutan. Jika si siswi
tadi menolak lamarannya, maka hatinya akan hancur, dan ia bertentangan denga
mafhum hadis tadi. Oleh kerana bersimpati dengan si senior tersebut, si
siswi terpaksa menerima lamaran itu. Menarik bukan “trend” percintaan
golongan anta-anti ini.

Seorang siswa juga pernah meluahkan kemarahannya ke atas naqib usrahnya di
bilik penulis. Mengapa tidak, tatkala di dalam usrah, berkepul-kepul dalil
dan fikrah yang dibawanya. Sampaikan ketika pertukaran ke usrah lain, si
naqib meminta siswa tadi agar berbai’ah untuk kekal di dalam perjuangan dan
tidak menyertai jemaah lain. Sayangnya, di dalam perjalanan balik kampung,
siswa tersebut nampak sang naqib berjalan berpegangan tangan dengan naqibah
sekelas mereka...ini yang paling menarik.Lebih hebat lagi, kedua-dua mereka
lengkap dengan aksesori berkopiah dan bertudung litup. Jika di zaman 70′an
dahulu nescaya apa yang dilakukan oleh sang naqib dan naqibah tersebut bakal
menerima cop “kafir” dari pendukung gerakan dakwah yang lain.

Di satu sudut yang lain pula, seorang siswa yang sering menceritakan
kehebatan “Abuya”nya kepada penulis, juga tidak dapat lari dari fenomena
cinta anta-anti ini. Penulis amat kagum dengan siswa yang sering muncul
dengan baju Melayu berkancing dan juga songkok berwarna-warninya ini.
Matanya yang bercelak sahaja sudah cukup untuk rakan-rakan yang lain hormat
kepada beliau. Sayangnya atas takdir Allah, ketika penulis berkunjung untuk
menziarahi beliau, penulis ternampak gambar seorang Muslimah menghiasi
desktop komputer peribadinya. Ditanyakan sama ada itu adik, kakak ataupun
emaknya atau mungkin neneknya, beliau menafikan. Beliau terpaksa mengaku
bahawa itu adalah “kawan”nya. Yang hebatnya,
tertulis di sebelah keayuan wajah gadis tersebut “ukhwah fillah membawa ke
Jannah”.

Persoalannya, adakah fenomena ini sihat? Adakah ia sudah cukup islamik? Atau
penulis yang ketinggalan zaman sehingga naif terhadap trend muda mudi masa
kini? Ataupun fiqh Islamiyy juga perlu diubahkan untuk disesuaikan dengan
perubahan semasa. Di dalam artikel yang terhad ini, penulis tidak berhajat
untuk memberikan hukuman mahupun pandangan terhadap fenomena yang menarik
ini. Biarlah para pembaca membuat penilaian mereka terhadap “sihat” atau
tidak sihatnya budaya ini. Semoaga ada di kalangan pembaca yang akan dapat
memberikan pandangan yang rasional serta boleh diwacanakan.

Wallahu’alam..

dipetik drpd tulisan ust Maszlee Malik
Baca Lagi
Category: 0 comments
Reactions: 
Links to this post

Share

Twitter Facebook