kelebihan puasa 6 di bulan syawal

Alhamdulillah kita telah tamat menjalani ibadah puasa sepanjang Ramadhan ini. Sama-samalah kita mengharapkan mudah-mudahan Allah menerima amalan puasa kita. Di samping itu juga diharapkan agar latihan ibadat yang kita lakukan sepanjang Ramadhan seperti puasa, solat sunat, sedekah, bacaan Quran dapat diteruskan dalam bulan-bulan lain sehinggalah kita bertemu Ramadhan akan datang.


Setiap amalan ada kesan dan hasilnya. Ibadat puasa Ramadhan ini mampu menjadikan kita orang yang bertakwa. Inilah intipati dari Ramadhan. Kelazatan puasa memuncak ketika berakhirnya Ramadhan. Kita inginkan keberkahan Ramadhan ini berpanjangan hingga setahun, tapi apakan daya ia datang hanya sebulan saja.

Sungguhpun begitu, kita masih berpeluang meneruskan puasa selepas 1 Syawal. Adalah menjadi amalan sunat mengerjakan puasa 6 hari dalam bulan Syawal. Ia boleh dilakukan mulai 2 Syawal hingga 7 Syawal secara berterusan atau mana-mana 6 hari dalam bulan tersebut. Nabi Muhammad saw. bersabda "Barangsiapa berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa 6 hari dalam bulan Syawal, maka orang itu seolah-olah berpuasa setahun penuh."

Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Sayugialah kita mengambil peluang ini untuk berpuasa 6 di bulan Syawal. Selain mendapat pahala puasa setahun, kita juga dapat memperbaiki kekurangan dalam ibadat puasa bulan Ramadhan.

Bagi kaum perempuan yang tidak dapat berpuasa penuh dalam bulan Ramadhan kerana faktor uzur syari'e, puasa Sunat 6 hari dalam Syawal ini memberi peluang terbaik untuk mengqadha' di samping mendapatkan pahala berpuasa sunat. Kebiasaan mentaakhirkan qadha sehingga hampir Ramadhan akan datang adalah satu amalan yang tidak sepatutnya dilakukan. Amalan wajib jika ditinggalkan mestilah disegerakan sebagai menunjukkan sikap pengabdian diri kita terhadap Allah. Apakah makna dan tujuan kita melambatkan qadha' puasa wajib? Tidak lain menunjukkan seolah-olah kita keberatan untuk menunaikan kewajiban yang telah kita tinggalkan. Bukankah Allah tahu apa yang tersirat di hati kita?

Natijah dari amalan puasa ialah taqwa dan kasih akan Allah. Tanda kasih akan Allah ialah berkhidmat kepadaNya. Siapa mencintai Allah dia akan berbahagia di alam akhirat, sebaliknya siapa mencintai dunia dan isinya, ketahuilah dunia akan meninggalkan kita. Kelazatan dunia walaupun bagus tetapi ia tidak kekal. Ia berakhir sebaik saja kita menemui ajal. Sebaliknya kelazatan akhirat kekal abadi tanpa batasan waktu.

Di antara tanda kita mengasihi akan Allah ialah mulut sentiasa berzikir (mengingati / menyebut) Allah, hati tidak lalai mengingati sesuatu selain Allah. Setiap amalan yang dilakukan diperiksa terlebih dulu adakah untuk nafsu atau Allah. Mana yang dirasakan untuk Allah diteruskan. Apabila melihat sesuatu hati terus teringat kepada Allah yang menjadikannya. Selain itu, sentiasa mendampingi orang alim (ulama) kerana mereka ialah pewaris nabi. Kita sedar kita adalah bersama orang yang kita cintai di akhirat nanti. Jika hati menyintai nabi dan para ulama, insyallah kita bersama mereka di akhirat . Bagaimana pula agaknya kalau kecintaan beralih kepada para artis dan penyanyi? Nauzubillah...

Sebagai akhirnya, sama-samalah kita berdoa supaya kita dapat bertemu Ramadhan tahun depan dan seterusnya.

"Ya Allah, masukkanlah kami ke dalam golongan orang yang merindui Ramadhan kerana kami sedar di syurga terdapat sebuah pintu bernama Ar-Rayyan yang tidak boleh dimasuki oleh sesiapa kecuali orang yang berpuasa saja. Kami juga sedar Ya Allah bahawa puasa merupakan benteng terkuat dari azab neraka. Oleh itu jadikanlah kami orang yang rajin mengerjakan puasa wajib dan sunatnya. Kau peliharakanlah kami dari azab api neraka yang tidak mampu bagi kami untuk menanggungnya.." Amin.

Sumber Artikel: reformismuda.blogspot.com, Komuniti Teman Inteam
Baca Lagi
Category: 0 comments

..SELAMAT HARI FITRAH..

Jawatankuasa Badan Kebajikan Surau Al-Ghazali mengucapkan Selamat Menyambut Hari Fitrah kepada Puan Pengarah, Timbalan Pengarah, Pensyarah2 serta semua warga IPGM Kampus Tuanku Bainun. Semoga Kehadiran Hari Fitrah tahun ini memberikan seribu keberkatan buat kita. Sekalung Penghargaan juga kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam program Ihya' Ramadhan IPGM KAmpus Tuanku Bainun 1430 H. Semoga dalam hitungan Allah S.W.T hendaknya.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
Baca Lagi
Category: 0 comments

kelebihan malam al-Qadr

Dalam tulisan ringkas ini, cuba sama-sama kita hayati beberapa keistimewaan Laylatul Qadar seperti berikut :-

1) Malam berkat yang di turunkan padanya Al-Quran (secara sepenuhnya dari Lawh Mahfuz ke Baytil Izzah di langit dunia sebelum diturunkan kepada Nabi SAW secara berperingkat) ;

Justeru ia disifatkan sebagai malam penuh berkat dalam ayat 3 surah ad-Dukhaan. Pandangan ini adalah sohih dari Ibn Abbas, Qatadah, Sai'd Ibn Jubayr, ‘Ikrimah, Mujahid dan ramai lagi. (Tafsir Al-Baidawi, 5/157 ; Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126 )

2) Di tuliskan pada malam tersebut "qadar" atau ketetapan bagi hidup, mati, gembira, rezeki, sihat, sakit dan apa jua berkaitan qadar manusia dan destinasi mereka pada tahun itu.

Ini diambil dari firman Allah s.w.t :-

فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ أَمْرًا مِّنْ عِندِنَا إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ

Ertinya : Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah Yang mengutus rasul-rasul ( Ad-Dukhan : 4-5)

Imam At-Tabari menyebut bahawa pada malam itu, diputuskan hal ajalnya seseorang, rezekinya, kejadiannya. Malah di malam tersebut juga, ditentukan siapa yang berkahwin dengan siapa, nama siapa yang termasuk dalam senarai kematian pada tahun berikutnya, apakah musibah yang akan menimpa dan lain-lain. Ia juga yang dihuraikan oleh Imam Qatadah, Mujahid dan Al-Hassan(Tafsir At-Tabari, 25/108 )

Imam Al-Qurtubi mencatatkan

قال بن عباس يحكم الله أمر الدنيا إلى قابل في ليلة القدر ما كان من حياة أو موت أو رزق

Ertinya : Berkata Ibn Abbas, Allah s.w.t menghakimi atau menentukan urusan untuk dunia apabila tibanya Laylatul Qadar, dari segala urusan tentang kehidupan (hambanya) atau kematian atau rezeki (Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126)

Demikian juga yang difahami dari apa yang disebut oleh Ibn Abbas. (Tafsir Ibn Kathir, 137/138). Imam An-Nawawi ada menghuraikan maksud panjang bagi hal ini. (Syarah Sohih Muslim, 8/57). Menurut pandangan yang lain qadar juga membawa bermaksud mulia atau agung.

Adakah kita sudah untuk meninggal dunia hari ini atau sebentar lagi?

Adakah merasa takut untuk menunggu kehadirannya?

Saya selalu cuba menghadirkan perasaan dan persoalan ini dalam minda saya, terutamanya ketika memandu kereta dan menaiki kapal terbang. Terbayang tayar meletup dan kereta terhumban, atau kapal terbang rosak dan menunggu maut hadir sebagaimana yang saya kerap dan suka saya lihat perbincangan mengenainya di dalam rancangan 'Air Crash' terbitan National Geogharphic Channel.

Jika belum merasa sedia, maka apakah sebabnya? Adakah umur yag diberikan belum mencukupi?, atau aqal belum sempurna berfikir untuk menyiapkan persediaan.? Bukankah kita merupakan insan normal yang punyai aqal sihat, malah kita amat marah digelar 'bodoh' oleh orang lain.

Lantas, apakah lagi alasan yang ingin kita sebutkan? Adakah kerana terlalu sibuk mengejar dunia dan leka dengan kenikmatan sementaranya, sehingga tiada masa memikirkan ibadah dan mengetahui perkara halal serta haram.

Justeru, malam Al-Qadr boleh menjadi satu peluang dan ruang untuk berdoa memanjangkan umur dalam ibadah, amal soleh dan rezeki yang baik. Berusahalah.

Sama-sama kita hidupkan malam-malam akhir Ramadhan dengan dengan beribadat sehabis mungkin bagi memastikan yang terbaik buat destinasi hidup kita.

Hanya beberapa hari sahaja untuk bersengkang mata dan melawan nafsu tidur dan rehat. Jika kita punyai cuti yang agak panjang sebelum raya, habiskan ia dengan bacaan Al-Quran dan fahami ertinya. Nafsu 'shopping' dan rehat pasti akan menganggu. Lawani ia, hanya beberapa hari sahaja, paling panjang 10 hari sahaja.

3) Malam ini terlebih baik dari seribu bulan untuk beribadat.

Perlu difahami bahawa para ulama berbeza pandangan dalam pengertian seribu bulan kepada pelbagai takwilan. Cuma Imam At-Tabari selepas membawakan hampir semua pendapat-pendapat semua pihak ia mentarjihkan dengan katanya :-

وأشبه الأقوال في ذلك بظاهر التنزيل قول من قال عمل في ليلة القدر خير من عمل ألف شهر ليس فيها ليلة القدر

Ertinya : Pendapat yang paling tepat dari zahir teks nas yang diturunkan adalah pendapat yang mengatakan erti Seribu bulan adalah "beramal di laylatu Qadr sama dengan amalan seribu bulan yang tiadanya laylatul Qadr ( selian bulan Ramdhan) ( At-Tabari, 30/259)

Imam Malik dalam al-Muwatta' membawakan satu hadis Nabi s.a.w yang memberi makna seribu bulan itu adalah gandaan sebagai ganti kerana umur umat zaman ini yang pendek berbanding zaman sebelum Nabi Muhammad SAW yang amat panjang seperti Nabi Nuh as. (Al-Muwatta, no 698, 1/321 ; Al-Jami' Li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 20/133 ; Syeikh Atiyyah Saqar, Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, dengan pindaan).

4) Pada malam itu, turunnya para Malaikat dan Ruh (Jibrail as).

Hal ini disebutkan di dalam al-Quran dari surah al-Qadr. Manakala, dalam sebuah hadith disebutkan bahawa pada malam tersebut, malaikat akan turun dan berjalan kepada seluruh individu yang sedang beribadat secara berdiri, duduk, bersolat, berzikir, serta memberi salam kepada mereka dan mengaminkan doa mereka maka Allah akan mengampunkan mereka kecuali empat kumpulan : Peminum arak, penderhaka ibu bapa, pemutus siltarurrahmi dan individu yang sedang bermusuhan.

5) Malam itu juga disebutkan sebagai malam yang sejahtera.

Hinggakan Syaitan juga tidak mampu untuk melakukan kejahatan dalamnya. (Tafsir Ibn Kathir, 4/531 ; Al-Qurtubi, 20/134 ) . Sejahtera dan keberkatan ini akan berterusan sehingga naik fajar dan bukannya pada saat tertentu sahaja. Hal ini juga di sebutkan dari firman Allah dalam surah al-Qadr.

6) Diampunkan dosa terdahulu bagi sesiapa yang menghidupkannya dengan iman, ikhlas dan mengharap redha Allah;

Ia berdasarkan hadith sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim. (Fath al-Bari, 4/251)

Hidup kita adalah pendek, panjangkan ia dengan amal jariah dan amalan soleh melebihi seribu bulan.


Sekian

dipetik drp:zaharuddin.net
Baca Lagi
Category: 0 comments

..kesilapan besar yg dipandang remeh oleh umat Islam pd bulan Ramadhan...

Antara kesilapannya ialah :

PERTAMA : Makan dan minum dengan bebas setelah terbatal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang boleh diterima syara').
Keadaan seperti ini ada disebutkan di dalam hadith yang bermaksud : "Sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasanya) maka hendaklah dia berpuasa baki harinya itu". (riwayat Bukhari)

KEDUA : Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam. "Sahur" dari sudut bahasa Arab bermaksud "Aslah" iaitu (waktu terakhir di hujung malam).
Imam Ibnu Hajar menegaskan di dalam kitabnya Fathul Bari : "Melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW".

KETIGA : Bersahur dengan hanya makan dan minum sahaja tanpa melakukan ibadah yang lain. Ini satu kesilapan besar bagi umat Islam kini. Waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik unntuk istighfar dan menunaikan solat malam. Waktu sahur adalah salah satu waktu dimana doa mudah untuk diangkat oleh Allah SWT.

KEEMPAT : Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ini juga adalah satu kesilapan yang amat besar bagi umat Islam masa kini. Memang benar solat bukanlah syarat sah untuk seseorang berpuasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tunggak kepada keislaman seseorang. Sesungguhnya solat itu adalah soalan pertama yang akan ditanya oleh Allah SWT kepada kita di akhirat kelak.

KELIMA : Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan kerja yang kita lakukan di pejabat atau di mana-mana tempat kerja pun, bila diniatkan sebagai ibadah maka sudah pastinya akan menambahkan lagi pahala untuk kita.

KEENAM : Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah satu ibadah. Sedangkan Imam As-Suyuti menegaskan bahawa hadith yg menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadah adalah amat lemah. (Al-Jami' as-Soghir : Faidhul Qadir, Al-Munawi)

KETUJUH : Tidak mengutamakan solat subuh berjemaah sebagaimana tarawih. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, terutama sekali solat Subuh berjemaah yang disebut oleh Nabi SAW : "Bagi orang yang mendirikan solat Subuh secara berjemaah, maka dia akan beroleh pahala menghidupkan seluruh malam".

KELAPAN : Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat sekadar inginkan kemeriahan di bulan Ramadhan. Malangnya mereka kerana setiap amalan adalah dikira berdasarkan niat, jika niat utama seseorang itu (lelaki mahupun wanita) hadir ke masjid adalah untuk suatu kemeriahan, dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharapkan ganjaran redha Allah SWT sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith yang bermaksud :
"Sesungguhnya sesuatu amalan itu adalah di kira berdasarkan niat". (Riwayat Bukhari)

KESEMBILAN : Memasuki Ramadhan dengan keadaan harta masih lagi dipenuhi dengan harta haram, sama ada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insurans, pelaburan dan kereta secara riba'. Ini sudah tentu akan memberi kesan yg amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan. Kerana status orang yang terlibat dengan riba' adalah berperang dengan Allah dan Rasul-Nya... wal'iyazubillah min zalik.
Baca Lagi
Category: 0 comments

Share

Twitter Facebook