Anda pendakwah kategori mana?

Saya sering ditanya oleh adik-adik di kampus tentang dakwah, tentang
jamaah, tentang kaedah memilih badan yang ingin disertai… dengan
pelbagai format pertanyaan.

Namun, adik-adik di kampus perlu berhenti sejenak dan menapak
selangkah ke belakang. Jawab dahulu soalan yang paling penting,
MENGAPA MAHU BERDAKWAH? Jawab dahulu soalan ini, sebelum pergi kepada
soal organisasi dan jamaah.

Ada orang mengambil keputusan untuk berdakwah, kerana persekitarannya
penuh kerosakan dan maksiat. Pengikut aliran Nafsu Nafsi semakin
tinggi, mengatasi pendukung Salafi Khalafi. Ketika segelintir rancak
berbincang tentang kaedah melahirkan da’ie, siswi melahirkan anak luar
nikah lebih meninggi. Sesuatu mesti dilakukan, lantas keputusan
diambil, saya mesti berdakwah.

Salahkah pemikiran seperti ini? Tentu tidak salah, tetapi ada
kekurangannya di situ…

Ada segelintir yang mengambil keputusan untuk berdakwah kerana hasil
ilmu dan pengetahuannya, dia mendapat tahu bahawa dakwah itu wajib.
Kewajipan dakwah itu sangat rasional. Fathi Yakan di dalam bukunya Apa
Erti Saya Menganut Islam menegaskan tiga sudut yang membawa kepada
kewajipan dakwah. Himpunan ayat al-Quran dan al-Hadith tentang
kewajipan dakwah, sudah pun dihadam di dalam pelbagai siri usrah dan
seminar. Dakwah itu wajib, maka ia mesti dilaksanakan.

Apakah salah berpemikiran sebegini? Tentu sekali pemikiran ini adalah
pemikiran yang lurus dan benar tentang dakwah. Tetapi di sana ada
sesuatu yang kurang. Kurang itu mungkin tidak muncul semasa kita di
kampus. Ia datang kemudian…

Sama ada kita mengambil keputusan untuk berdakwah kerana persekitaran,
atau kerana sedar akan kewajipan dakwah, kedua-dua motif dakwah ini
letaknya di luar. Ia datang dari luar ke dalam diri. Apabila ia datang
dari luar ke dalam, kita bergerak di medan dakwah hasil dorongan luar
diri.

“Apa nak jadi dengan masyarakat di kampus kita, kalau kita tidak
berdakwah”, pesan seorang naqib kepada anak buahnya.

“Takkanlah aku nak malas-malas dan mengabaikan dakwah. Ini bukan cakap
naqib aku, tapi Allah yang cakap, Nabi yang cakap”, monolog seorang
siswa yang baru menerima panggilan telefon memanggilnya hadir ke
mesyuarat Program Minggu Dakwah tidak lama lagi.

Ya, mata melihat kemungkaran. Otak tunduk kepada rasional dalil wajib
dakwah. Tetapi sudahkah HATI merasainya?


TAHU DAN MAHU

Jika kita berdakwah kerana keyakinan akal terhadap hujah dan dalil,
akal kita menawarkan TAHU. Apabila kita duduk dalam ‘dunia akal ‘di
kampus, ia sudah cukup untuk membantu diri kita terjun ke medan
dakwah. Dunia realiti bukan dunia akal. Ia bukan dunia tahu, dunia
kita adalah dunia MAHU.

Sudah berkali-kali saya cuba buktikan, bahawa manusia tidak bertindak
hanya berasaskan apa yang dirinya TAHU. Manusia bertindak berasaskan
apa yang dia MAHU, dan mahu itu adalah soal hati.

Bagaimanakah apa yang kita TAHU tentang dakwah itu boleh dikesan telah
terserap ke dalam hati menjadi MAHU? Jawapannya tidak sukar, pada
jalan dakwah itu kita mendapat KEPUASAN hidup.

Bekas peserta kursus saya (rujuk artikel Apa Tajuk Bab 1 Dakwah Anda),
mengatakan bahawa beliau bersyukur dapat hadir ke kursus tersebut dan
merasa rugi di pihak kawan-kawannya yang tidak hadir. Dalam keadaan
baju masih dedah sana sini, dan lidah masih bertindik, beliau berkata,
“saya mahu sampaikan apa yang saya dapat dalam kursus ini kepada
kawan-kawan saya!”

Tidakkah beliau sudah menerima konsep dakwah? Hatinya sudah mahu,
sebelum akalnya tahu…


ANALOGI 3 PEKERJA

Analogikan sahaja kepada 3 pekerja. Pekerja pertama merampus-rampus
dan merungut semasa mengecat dinding kerana tertekan dengan kerjanya
itu. Pekerja kedua lebih tenang dan gembira mengecat dinding kerana
dia tahu, kerjanya itulah nanti yang bakal menjadi gaji. Bekerja untuk
menerima imbuhan. Manakala pekerja ketiga sangat gembira dan mendapat
kepuasan kerja, sebelum gaji diterima, kerana padanya perbuatan
mengecat dinding bukan sekadar sebahagian kerja menyiapkan bangunan,
tetapi beliau menganggap dirinya sebagai sebahagian dari kebahagiaan
keluarga yang bakal duduk di rumah itu. Bukan hanya cat, tetapi yang
disalut pada rumah itu adalah sebuah harapan agar ahli rumah itu nanti
bahagia.

Anda pendakwah kategori mana?

Semasa berdepan dengan mesyuarat dan tekanan kerja dakwah, adakah anda
merampus dan merungut-rungut? Bandingkan sahaja diri seperti ini
dengan pengecat pertama. Buat sesuatu kerana terpaksa, tiada matlamat,
dan penuh rungutan.

Atau anda gembira dengan dakwah di kampus? Gembira kerana penglibatan
anda bakal dikira di dalam jam kredit, dan boleh dimasukkan di dalam
resume? Setiap kali di awal program, nama anda akan dialu-alukan oleh
penceramah? Dapat berdamping dengan orang besar-besar yang datang?
Dapat kawan?

Macam-macam kita boleh dapat melalui kerja dakwah. Hati gembira
apabila berdakwah untuk MENERIMA.

Dakwah kategori ini, tarafnya hanya sekadar ko kurikulum. Aktiviti
persatuan. Makna dakwah yang dilakukannya kepada sebuah kehidupan,
tidak begitu difikirkan. Semasa miskin jam kredit dan semasa baru
berkenalan dengan ‘pengaruh’, mungkin dorongan berdakwah untuk
menerima sudah cukup kuat untuk mengajak kita turun ke medan dakwah.

Tetapi jika anda berdakwah di kategori ketiga, anda berdakwah untuk
mencari makna hidup. Dakwah bukan semata-mata untuk menerima
pengiktirafan kampus, tetapi dakwah anda adalah untuk memberikan makna
kepada diri dan rakan. Setelah diri merasa begitu bertuah terpilih
menerima sentuhan Iman, terasa dalam diri untuk berkongsi tuah itu
dengan saudara yang lain.

Dakwah anda bukan hanya untuk kejayaan diri, tetapi juga untuk
kejayaan orang lain. Bukan hanya berjaya mengubah cara fikir, cara
pakai dan cara cakap, tetapi berjaya mengubah erti hidup dan bertemu
jalan menuju Syurga!

Akhirnya pendakwah ketiga, berdakwah kerana pada dakwah itulah dia
bertemu kepuasan hidup. Pada dakwah itulah dia memberi makna kepada
hidup. Keinginan untuk berdakwah, adalah kerana kemanisan iman dan
penghargaan yang tinggi terhadap hidayah Tuhan, yang melimpah ruah di
dalam hati, sebelum datang soal wajib dakwah dan panggilan dakwah
terhadap kerosakan bi’ah (persekitaran).

Dakwah ini adalah dakwah dalam ke luar. Bukan lagi dakwah luar ke
dalam. Dakwah ini adalah dakwah untuk memberi, bukan sekadar
menghitung terima.

Kenapa soal ini penting?


DUNIA KERJAYA DAN RUMAHTANGGA

Apabila adik-adik di kampus terjun ke medan kerjaya dan berumahtangga,
mereka yang dahulunya aktif berdakwah akan kecundang satu demi satu.
Mereka kecundang bukan kerana fikiran telah berubah.

Dulu saya yakin dakwah itu wajib, tetapi kini di alam kerja dan
rumahtangga, saya berjumpa dengan wajib yang lebih besar dan tinggi.
Tidak ramai yang ‘gugur’ kerana berfikir begini.

Mereka kecundang bukan kerana suasana persekitaran sudah kekurangan
maksiat dan sebab dakwah. Malah maksiat makin banyak, makin menggila.
Tetapi lagi banyak maksiat bertebaran, makin kurang pendakwah yang
bertahan.

Gugurnya da’ie dari jalan dakwah bukan kerana itu semua.

Gugur itu hanya kerana 5 huruf yang sakti.

S.I.B.U.K.

Ya, jika sibuk dijadikan alasan, tidak akan ada sesiapa pun yang
berani membantah. Jika dahulu kita sendiri, kini sudah bersuami atau
beristeri. Anak-anak bakal menyusul. Dulu satu ibu dan satu bapa, satu
keluarga dan satu saudara mara. Kini semua berganda dua. Hujung minggu
hanya sehari atau dua.

Tanpa disedari, sudah setahun tidak berusrah. Sudah setahun tidak
berceramah, sudah setahun bercuti dari dakwah. Salahkah bercuti dari
dakwah? Akal mungkin berkata ya, tetapi hati sedap menikmatinya.

Jika dahulu, makna hidup dicari pada kawan yang mad’u dan diri yang
da’ie, tetapi kini makna hidup beralih pada kerjaya, pada rumah
tangga, pada semua selain dakwah.


BAGAIMANA MENGATASINYA?

Bagaimanakah adik-adik boleh selamat dan terkecuali dari fenomena warisan ini?

Saya sendiri masih bertarung, selagi nyawa dikandung tubuh.

Tetapi saya percaya, saya berdakwah bukan untuk menerima, tetapi
kerana mahu memberi. Dan pada memberi itu, saya meng’erti’kan hidup,
lantas terasa berbaloi mengorbankan Sabtu dan Ahad demi Sabtu dan
Ahad, meninggalkan anak sendiri untuk bertemu anak orang lain, demi
erti hidup yang pada MEMBERI.

Kerana itulah saya masih terus bertahan, walaupun dalam seribu kepayahan.

“Kenapa mahu berdakwah?”, tanyalah kepada diri.

Dipetik daripada : www.saifulislam.com
Category:

0 comments:

Share

Twitter Facebook